Kenal Konoplyanka? Ejen tawarkan Terengganu FC bintang Eropah


  • Podium
  • Rabu, 28 Jun 2023

Konoplyanka baru menamatkan musim bersama MKS Cracovia dalam liga Poland. — Agensi

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

JOHN F. Kennedy pernah berkata, setiap krisis itu mendatangkan bersamanya pelbagai kesempatan. Krisis juga, kata Presiden Amerika Syarikat ke-35 itu, berkemungkinan membawa kepada pewujudan sistem atau struktur baru.

Kepada ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, krisis dalam kekalahan separuh akhir Piala FA, Ahad lalu, turut membawa isyarat perlunya penambahbaikan, khususnya dengan mendatangkan beberapa muka baru demi kebangkitan pasukan.

Hampa kerana angan-angan mendapatkan tonggak skuad kebangsaan, Safawi Rasid, sudah lama lenyap, Steinbruckner atau panggilan ringkasnya Tomi, sebaliknya dikejutkan oleh tawaran mendapatkan pemain kebangsaan Ukraine, Yevhen Konoplyanka.

Pemain sayap berusia 33 tahun itu yang baru menamatkan musim bersama MKS Cracovia dalam liga Poland, pernah mencipta nama bersama kelab La Liga, Sevilla FC, dari 2015-2017, Schalke 04 (Jerman) 2016-2019 dan Shakhtar Donetsk (Ukraine) dari 2019-2021.

“Saya terkejut besar apabila ditawarkan ejen untuk khidmat Konoplyanka yang sebenarnya terkenal di Eropah. Saya tidak pasti sama ada ejen itu benar-benar serius tapi itu adalah antara nama yang ditunjukkan kepada saya,” katanya kepada Laptop Cabuk.

347448403_248984314509677_1758625464134782314_n

Terengganu mengalami kekalahan kepada KL City dalam saingan separuh akhir Piala FA. — Facebook/ Terengganu FC

Namun, pemain itu turut termasuk dalam senarai bagi pertimbangan pengurusan Terengganu FC untuk diserapkan dalam jendela perpindahan kedua yang akan dibuka mulai 5 Julai.

Kekalahan 4-2 dalam penentuan sepakan penalti kepada Kuala Lumpur City (KLC) FC susulan kedudukan yang terikat 0-0 selepas aksi 120 minit Ahad lalu, menjadi titik peralihan buat skuad Sang Penyu itu melakukan penambahbaikan, terutama di bahagian tengah dan serangan.

Di sebalik memiliki lebih penguasaan dan jumlah percubaan, pasukan tuan rumah itu gagal menembusi benteng pertahanan pelawat yang mengecewakan lebih 30,000 penonton di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Di dalam liga pula, skuad Peteh itu dikerah berpuas hati sekadar di tangga kelapan dengan 20 mata ketika ini sebelum menyambung cabaran dengan menjadi tuan rumah kepada kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 3 Julai nanti.

2021067

Sekembalinya Safawi dari Thailand, dia mengesahkan akan kekal bersama JDT. — Facebook/ Terengganu FC

Tomi mengakui tidak terlalu kecewa dengan kegagalan mendapatkan Safawi yang baru menamatkan tempoh pinjaman bersama kelab liga Thailand, Ratchaburi FC, kerana tidak menaruh harapan terlalu tinggi dari awal lagi untuk perpindahan itu berlaku.

“Saya bercakap dengannya beberapa kali sejak beberapa minggu kebelakangan tapi kesudahannya perlu terima hakikat bahawa ia bukan keputusannya bersendirian, sebaliknya dia perlu patuh kepada keputusan dan kemahuan kelab,” ujarnya.

Pada 15 Jun lalu, Safawi mengesahkan dalam satu laporan Harimau Malaya bahawa sekembalinya dari Thailand, dia akan kekal bersama Johor Darul Takzim (JDT) dan keputusannya itu adalah muktamad.

“Setelah tak dapat Safawi, ia akan gembirakan kami jika dapat Konoplyanka, yang juga seorang pemain sayap yang hebat selain boleh bermain sebagai pemain tengah menyerang tapi ia terpulang kepada pihak pengurusan untuk berunding dengan ejen.

“Saya difahamkan ia bergantung kepada bajet, sama ada ia dalam kemampuan Terengganu FC atau tidak,” katanya merujuk kepada laman Transfermarkt yang menilai pemain itu pada kadar semasa €500,000 (RM2.55 juta). Kontraknya dengan Cracovia akan tamat 30 Jun ini.

2043101

Kehilangan Manuel Ott di bahagian tengah menyerang TFC belum lagi terisi. — Facebook/ KDA FC

Tomi berkata, pasukannya masih terasa kelompongan fungsi pemain tengah menyerang ditinggalkan Manuel Ott, yang memilih untuk menyusuli ketua jurulatih, Nafuzi Zain, bersama KDA FC musim ini.

“Saya masih tercari-cari seorang pemain tengah menyerang yang bagus. Dalam pasukan ketika ini, kami ada ramai pemain tengah bertahan, termasuk Habib Haroon, sedangkan kehilangan Manuel Ott belum lagi terisi.

“Sepanjang dua atau tiga minggu lalu, kami didatangi ramai ejen yang menawarkan pemain-pemain dari Asia, Australia, Eropah, Uzbekistan dan Brazil. Kami akan memperhalusi senarai mereka tapi keputusan akhir adalah di tangan pengurusan TFC,” katanya.

Ketua jurulatih itu, bagaimanapun, enggan mengesahkan ura-ura pemain tengah kebangsaan Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov, adalah pilihan terbaik buat mereka ketika ini.

Dalam perkembangan terbaru, penyokong Sang Penyu seakan-akan menerima berita baik yang disampaikan ejen bola sepak yang berpangkalan di Tajikistan, Kova Talivpur.

Dalam sebuah kompilasi video menampilkan Nurillo yang dimuat naik di laman YouTube Talivpur, terdapat lambakan komen daripada pengguna media sosial yang mengalu-alukan kehadirannya ke Pantai Timur.

356097732_248832731191502_2778742752750025836_n

Habib Haroon antara pemain tengah bertahan di skuad Sang Penyu. — Facebook/ Terengganu FC

Selain calon barisan tengah dan serangan, Tomi perlu turut mempertimbangkan kedudukan pemain pertahanan, Sardor Kulmatov, yang mengalami ulangan kecederaan lutut yang serius.

“Ya, kami mempunyai masalah di barisan pertahanan juga. Saya perlu menimbangkan seorang calon import yang boleh membentuk keserasian dengan Argzim Redzovic,” ujarnya.

Tomi barangkali tidak menganggap pasukannya sedang dalam krisis tapi tidak menolak untuk memanfaatkan kesempatan yang terluang ketika jendela perpindahan kedua kian hampir.

Apatah lagi, seperti pernah diungkapkan Presiden Kennedy, krisis boleh mencetus kepada pengenalan sistem atau struktur baru yang sangat diperlukan Terengganu FC pada waktu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram