AKSI Liga Super musim ini diteruskan dengan pertembungan antara Perak FC dengan PDRM FC di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Jumaat.
Reputasi skuad Sang Saka Biru kini bergelar giant killer pastinya memberi ancaman kepada pasukan The Bos Gaurus (TBG) yang berada di tangga ke-11 dalam kejohanan domestik itu.
Strategi pertahanan yang kebal itu juga mampu menumpulkan serangan pasukan pihak lawan dan sukar ditembusi walaupun bagi juara bertahan Liga Super musim ini iaitu Johor Darul Takzim (JDT).
Namun baru-baru ini, sukan bola sepak dikejutkan dengan pengumuman ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz yang direhatkan daripada pasukan berkenaan.
Malah, khidmat jurulatih berusia 48 tahun kini digantikan dengan penolong jurulatih skuad The Cops, Eddy Gapil bagi menerajui pasukan tersebut.
Untuk rekod, Azzmi yang dilantik Januari lalu itu semakin dihormati selepas kejayaan skuad bimbingannya mencetak dua kemenangan mengejutkan masing-masing 1-0 ke atas Selangor FC pada 3 Jun dan Sabah FC pada 8 Jun.
Oleh itu, ketiadaan tunjuk ajar Azzmi dilihat sebagai satu pertaruhan besar pihak pengurusan The Cops yang seakan-akan memperjudikan nasib pasukan kelapan dalam Liga Super musim ini menjelang aksi berdepan TBG nanti.
Melihat kepada kemampuannya, rata-rata pasukan Liga Super pasti berhasrat untuk mendapatkan khidmatnya, lebih-lebih lagi buat kelab yang beroperasi pada bajet lebih kecil.
Aksi perlawanan Harimau Muda B-17 menentang Thailand B-17 semasa Piala Asia B-17 AFC 2023 baru-baru ini. — Facebook/ Football Association of Malaysia
Namun, dengan tiada destinasi sesuai pada masa ini, terdapat kemungkinan besar bahawa khidmatnya akan mula ditagih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan pasukan Bawah 17 (B-17) boleh dikatakan sebagai pilihan paling sesuai, meskipun desas-desus dalam kalangan peminat turut mengaitkan jawatan itu dengan bekas jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim.
Walaupun cadangan itu semestinya ditolak oleh rata-rata peminat bola sepak tanah air, Majoriti melihat terdapat tiga sebab relevan untuk mendapatkan Azzmi yang juga bekas jurulatih interim Kedah Darul Aman (KDA) FC tersebut.
Tekanan tinggi terhadap Osmera Omaro
Semasa Piala Asia B-17 AFC 2023 di Thailand baru-baru ini, skuad kebangsaan B-17 pimpinan Osmera Omaro dilihat gagal untuk mara ke pusingan kalah mati selepas hanya mengumpul tiga mata dalam tiga perlawanan Kumpulan A.
Kegagalan itu menyaksikan mereka tidak dapat meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya yang sekali lagi membuktikan bahawa pembangunan akar umbi bola sepak negara tidak selari dengan skuad senior.
Malah, ramai orang mula menuding jari kepada Osmera ke atas perkara tersebut dengan mengatakan pendekatannya tidak sesuai berdasarkan jumlah gol yang dibolosi.
Jadi, mungkin lebih elok jika pihak pengurusan pasukan berkenaan menggunakan khidmat Azzmi bagi menguatkan skuad muda tersebut.
Berpengalaman dengan pemain muda
Rata-rata pemain PDRM FC itu berumur di bawah 30 tahun yang masih muda dan mudah dibentuk oleh bekas jurulatih Sang Kenari itu seperti penjaga gol, Asri Muhamad; penyerang, Zazrir Naim dan pemain pertahanan, Izzat Zuhairie.
Fleksibiliti berkenaan menjadikan skuad Sang Saka Biru boleh melakar pencapaian yang memberansangkan, lantas menjadikan pasukan tersebut disegani dan dalam masa sama, digeruni pihak lawan.
Kelebihan dan ciri pimpinan yang ada pada Azzmi ini boleh digunakan untuk mengasah bakat ubi muda skuad kebangsaan itu supaya dapat mengikut acuan senior mereka.
Aksi perlawanan PDRM FC menentang Selangor FC dalam Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Shah Alam pada 3 Jun. — Facebook/ PDRM Football Club
Kerap mencipta keputusan mengejut
Strategi taktikal parking bus yang sebelum ini dicemuh oleh pemerhati bola sepak tempatan nyata menjadi senjata terkuat pasukan berkenaan untuk berdepan pasukan-pasukan yang mempunyai bajet lebih besar.
Corak permainan tersebut turut berjaya menumpaskan skuad-skuad ternama seperti Selangor FC dan Sabah FC yang berada pada kedudukan lebih tinggi dalam carta Liga Super.
Pendekatan tersebut juga membolehkan PDRM FC berada di kedudukan kelapan dalam Liga Super dengan hanya satu mata dibezakan dengan pasukan di atas mereka, Terengganu FC, sekali gus menunjukkan keupayaan Azzmi untuk membawa pulang mata-mata berharga buat pasukan kendaliannya selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram