DEBARAN aksi Liga Super 2023 diteruskan dalam pusingan kedua dengan Perak FC masih bernafas dalam lumpur kekalahan apabila tewas dalam sembilan perlawanan di sepanjang 14 permainan kejohanan domestik itu.
Kini berada di tangga ke-11 dalam carta, skuad Seladang dijangkakan terus berada dalam kedudukan bahaya apabila meletakkan reputasi pengendali skuad berkenaan, Yusri Che Lah dalam bahaya.
Keadaan bertambah tegas apabila Perak FC bakal berdepan PDRM FC yang kini digelar sebagai giant killer oleh pemerhati sukan bola sepak tempatan.
Bagi mengelakkan kelab The Bos Gaurus (TBG) itu digari skuad Sang Saka Biru, barisan serangan pasukan perlu ditajamkan supaya sekurang-kurangnya dapat menjaringkan gol untuk perlawanan seterusnya.
Difahamkan Perak FC bakal melamar bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, iaitu Thiago Augusto yang bakal kembali ke Liga Malaysia.
Malah muncul dakwaan bahawa rundingan untuk merisik bekas tonggak penyerang Felda United itu kini berada di peringkat akhir.
Thiago masih berkhidmat dengan kelab bola sepak Bahrain sejak pertengahan musim lalu. — Instagram/@thiagoaugusto90
Untuk rekod, Thiago bukanlah pemain suam-suam kuku ketika dalam Liga Malaysia kerana pernah menjaring 15 gol dengan dua gol bantuan sepanjang 10 permainan dalam Liga Super musim 2017.
Pemain berketinggian 1.85 meter itu nyata menampilkan prestasi yang menakjubkan sepanjang diturunkan bermain dalam kesebelasan pemain utama skuad Felda United sepanjang 90 minit permainan dalam musim berkenaan.
Namun selepas itu, penyerang berbisa itu melebarkan sayap untuk bermain dengan beberapa pasukan bola sepak antarabangsa selama enam tahun.
Buat masa ini, pemain berusia 33 tahun itu masih berkhidmat dengan kelab bola sepak Bahrain, Al-Hidd Sports and Cultural Club (SCC) sejak pertengahan musim lalu.
Mungkin kehadirannya dalam skuad Seladang mampu memberi suntikan semangat kepada penyerang muda skuad Seladang, Hadi Fayyadh Abd Razak bagi menajamkan serangan yang dilihat tumpul dalam mana-mana permainan.
Setakat ini, bekas pemain yang dibawa masuk dari kelab Jepun, Fagiano Okayama itu hanya berjaya mencetak dua bantuan gol sepanjang 11 penampilannya dalam Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram