MEMASUKI pusingan kedua Liga Super 2023, Perak FC kini berada di tangga ke-11 dalam kejohanan tersebut dengan cetakan kemenangan hanya dua perlawanan setakat ini.
Lebih menyedihkan, skuad Seladang itu terus terendam dalam lumpur kekalahan apabila tewas dalam sembilan perlawanan di sepanjang 14 permainan dalam kejohanan domestik itu.
Dengan kedudukan agak rendah dalam carta serta prestasi hambar yang dipaparkan para pemain The Bos Gaurus (TBG) itu, semestinya reputasi pengendali skuad berkenaan, Yusri Che Lah berada dalam bahaya.
Bukan apa, antara punca pasukan tersebut sukar menjaringkan gol adalah ketumpulan barisan serangan yang menyebabkan kesukaran untuk mendaki ke tangga lebih baik dalam carta Liga Super musim ini.
Setakat ini, beban tanggungjawab tersebut disandang oleh penyerang muda skuad Seladang, Hadi Fayyadh Abd Razak yang dilihat masih belum menyumbang sebarang mata buat pasukannya setakat ini.
Bukan itu sahaja, bekas pemain yang dibawa masuk dari kelab Jepun, Fagiano Okayama itu hanya berjaya mencatatkan dua bantuan gol sepanjang 11 penampilannya dalam Liga Super musim ini.
Hadi (dua dari kiri) semasa sesi latihan pertamanya pada Januari lalu. — Facebook/Perak FC
Mungkin ada beberapa langkah yang boleh dibuat oleh pemain berketinggian 1.86 meter bagi mendapatkan rentak permainannya sekali gus menyelamatkan karier serta pasukannya daripada terus terjerumus ke lembah kekalahan.
1. Dapatkan latihan legenda secara persendirian
Jika latihan secara dalam kumpulan tidak memberikan sebarang kesan signifikan terhadap prestasi permainan, mungkin Hadi boleh cuba mendapatkan latihan dengan pemain atau jurulatih berpengalaman secara peribadi.
Mungkin ini masanya untuk penyerang terbaik Asia, Safee Sali untuk berkongsi ilmunya kepada pemain muda itu memandangkan kedua-dua mereka memegang posisi sama dalam pasukan bola sepak.
Safee yang baru sahaja menamatkan kursus Kejurulatihan Diploma AFC/FAM C pada awal Mei lalu boleh mengambil peluang tersebut untuk melatih Hadi dan membantunya mengeluarkan potensi sebenar pemain itu.
Safee sebelum ini mengumumkan persaraannya pada Februari lalu untuk memberi laluan kepada generasi baharu menyambung legasi bola sepak. — Facebook/ SafeeSali_10 Official.
2. Cari pasukan lain
Kedengaran agak kasar, tapi boleh jadi Hadi mungkin kurang menyerlah bersama Perak FC musim ini.
Bukan apa, Hadi pernah mewakili Malaysia untuk skuad di bawah 23 semasa Sukan Asia 2018 menentang pasukan Korea Selantan U23 dan Bahrain U23.
Dengan reputasinya sebagai antara prospek bola sepak negara suatu ketika dahulu, pemain tinggi lampai itu seolah-olah ketinggalan dengan rakan-rakan lain.
Tapi ketika berhijrah ke Perak FC, pemain berkenaan dilihat berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan bola sepak tempatan.
Mungkin juga dia sesuai bermain untuk skuad Seladang, namun dia dirasakan memerlukan sentuhan jurulatih yang lebih bijak memanfaatkan kelebihannya.
Atau boleh saja dia mencari kelab yang boleh membantu mengasah ketajaman penyudahnya di depan gawang.
3. Bina keupayaan fizikal
Prestasi Hadi dilihat kurang memuaskan ketika beraksi di atas padang antara punca penyumbang kepada kecundangnya Perak FC dalam liga kali ini.
Walaupun menunjukkan peningkatan dalam permainannya sepanjang enam bulan bersama TBG, pemain muda tersebut dikatakan masih bergelut untuk membuat hantaran bola yang berkesan dan sekali gus gagal menjaringkan gol untuk pasukannya.
Kelibat Hadi kelihatan ketika sesi latihan skuad Piala MFL Perak FC. — Facebook/Perak FC
Walaupun mempunyai fizikal yang agak tinggi 1.86 meter, mungkin dia memerlukan latihan yang sesuai untuk memaksimumkan kelebihan tersebut agar prestasi permainannya bertambah baik.
Tidak kurang daripada seminggu lagi, pasukan Perak FC bakal berdepan PDRM FC yang kini disifatkan sebagai 'giant killer' dan wajar digeruni oleh sesiapa sahaja.
Diharap pihak pengurusan skuad Seladang itu dapat membuat persiapan terbaik bagi berdepan Sang Saka Biru itu dan mengelak daripada menjadi banduan terbaharu pasukan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram