PRESTASI sebuah pasukan akan menjadi penanda ukur kecemerlangan seseorang jurulatih yang dilantik oleh pihak pengurusan dalam mengendalikan kelab.
Jika magis yang digunakan gagal membawa kelab ke tahap diinginkan, maka pihak pengurusan tiada pilihan lain selain mengugurkan pengendali tersebut dan menggantikannya dengan individu baharu.
Merehatkan jurulatih seperti trend di saingan Liga Malaysia (Liga M) yang mana posisi tersebut akan diganti oleh naib jurulatih sebelum melantik pengendali baharu untuk mengisi kekosongan tersebut.
Musim ini sahaja, penyokong kancah domestik dihidangkan dengan beberapa berita kelab menggugurkan jurulatih susulan masalah prestasi pemain dan pasukan.
Namun lebih mengejutkan pada musim ini di saingan Liga Super, pasukan Kelantan FC menjadi pasukan pertama yang sudah menyalin lebih dua pengendali dalam tempoh tiga bulan sahaja.
Trend menukar jurulatih sebanyak lebih dua kali itu bukan kali pertama berlaku di kem Kelantan FC susulan sebelum ini terdapat dua kelab juga berpengalaman melakukan perkara sama.
Termasuk Kelantan FC, berikut dua lagi kelab pernah salin jurulatih lebih dua kali semusim;
1) Kelantan FC
Moon-sik menjadi jurulatih pertama direhatkan musim ini. — Facebook/TRW
Pada April lalu, pengendali Kelantan FC dari Korea Selatan, Choi Moon-sik muncul jurulatih pertama yang direhatkan musim ini dengan pengumuman mengejutkan itu diumum ketika 30 minit sebelum turun menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Selepas pengumuman tersebut, kontroversi membabitkan isu dalaman Kelantan FC mula timbul apabila ejen Moon-sik mendedahkan tindakan itu seperti sudah dirancang dan pemilihan pemain untuk perlawanan dibuat tanpa berunding terlebih dahulu dengan jurulatih tersebut.
Bukan itu sahaja, ejen yang bernama Leo Jeong-geun itu mendedahkan pemain-pemain Kelantan FC menghadapi masalah tunggakan gaji sehingga kini mereka terpaksa menerima balasan iaitu sekatan perpindahan pemain dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tidak cukup dengan Moon-sik, skuad The Red Warriors (TRW) juga mengambil keputusan mengugurkan Frank Bernhardt kerana gagal mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan.
Selepas pemecatan Bernhardt, bekas pengendali Persita Tangerang, Alfredo Vera yang bersaing pada Liga 1 Indonesia dilantik untuk menggalas tugas sebagai ketua jurulatih.
2) Perak FC
Simunic dilantik sebagai ketua jurulatih dan pengarah teknikal Perak FA dengan kontrak dua tahun. — Agensi
Musim ini, skuad The Bos Gaurus (TBG) juga tidak terkecuali mengalami isu sama yang mana pengendali pasukan itu, Datuk Lim Teong Kim digugurkan dan digantikan dengan Yusri Che Lah sehingga hujung musim.
Mengimbau sejarah lampau, Perak FC turut pernah menukar pengendali lebih daripada dua kali pada saingan Liga Super musim 2014/2015.
Pada awal musim, bekas pengendali Perak FA, Abu Bakar Fadzim diturunkan pangkat kepada penolong jurulatih dan posisinya diganti dengan Vjeran Simunic.
Pada 16 September 2014, Simunic dilantik sebagai ketua jurulatih dan pengarah teknikal Perak FA dengan kontrak dua tahun, tetapi selepas hanya dua bulan dia digantikan dengan legenda Perak, M. Karathu sebelum musim bermula.
Selepas itu Simunic ditugaskan semula ke akademi pembangunan belia Perak FA namun pada Ogos 2015, pengendali dari Croatia itu dilantik semula menggantikan Karathu kerana prestasi buruk Perak dalam liga.
3) Negeri Sembilan FC
Steinebrunner tiba sebagai ketua pengarah Negeri Sembilan FA pada November 2016. — Agensi
Negeri Sembilan FC turut terpalit masalah sama pada 2018 yang mana berlaku pertukaran sebanyak tiga jurulatih sehingga akhirnya menyaksikan skuad Jang terpaksa disingkirkan ke saingan Liga Perdana.
Pada 2016, pengendali dari Jerman, Jorg Steinebrunner ditugaskan sebagai ketua pengarah Negeri Sembilan FA pada November 2016, sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Negeri Sembilan untuk kempen Liga Super Malaysia 2018.
Namun, DNA Jerman tidak bertahan lama setelah dia diminta berundur daripada jawatan itu selepas hanya lima perlawanan musim 2018, selain hanya memenangi satu daripada perlawanan.
Jawatannya disambung oleh legenda Kedah FA, Azraai Khor Abdullah pada Februari 2018 namun beliau dipecat selepas tiga bulan kerana masalah prestasi yang tidak cukup memuaskan.
Selepas itu, pihak pengurusan melantik ketua jurulatih baharu berasal dari Portugal, Mario Lemos namun pengendali berusia 37 tahun itu tidak mampu menyelamatkan skaud Jang daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram