Sukar tembusi skuad utama, 3 bintang muda JDT sesuai sertai Perak, Pahang dan Kedah


  • Podium
  • Selasa, 27 Jun 2023

Terdapat lambakan bintang dalam skuad Piala MFL JDT musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KUALITI skuad Harimau Selatan tahun ini sememangnya sukar untuk dipersoalkan penyokong bola sepak tanah air memasuki separuh kedua musim.

Dalam 14 perlawanan Liga Super setakat ini saja, Johor Darul Takzim (JDT) sudah menjaringkan 54 gol yang mana membuktikan ketajaman jentera serangan mereka.

Tidak cukup dengan itu, rekod pertahanan mereka juga cukup membanggakan apabila pasukan Selatan tanah air itu hanya dibolosi sebanyak dua kali ketika berdepan Kelantan FC dan Terengganu FC.

Pencapaian tersebut dikatakan berpunca daripada perancangan ketua jurulatih, Esteban Solari yang amat menekankan keseimbangan dari segi serangan mahupun pertahanan.

Namun, kualiti setiap pemain juga tidak boleh dipertikaikan memandangkan kesemua yang diturunkan mampu memberikan sumbangan seperti mana diharapkan.

356242218_2614347535395196_4273844274947291630_n

Kualiti skuad JDT ketika ini sememangnya sukar untuk dipersoalkan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Hal berkenaan sedikit sebanyak menyebabkan ramai yang berpendapat ia hanya akan membantutkan peluang pemain muda untuk berada dalam skuad utama.

Setakat ini, terdapat lambakan pemain muda yang beraksi dalam Piala MFL bersama JDT II yang sudah menampilkan bakat tersendiri setiap kali diturunkan.

Melihat kepada beberapa tahun sebelum ini, Ramadhan Saifullah, Daryl Sham KK George dan Najmuddin Akmal dilihat sudah cukup bersedia untuk beraksi dalam Liga Super.

Tetapi, dengan adanya lambakan bintang dan pemain berkualiti dalam skuad senior Harimau Selatan, ketiga-tiga mereka pasti terpaksa menunggu lama untuk meraih minit permainan yang penting.

Jadi, memandangkan jendela perpindahan kedua Liga Super akan dibuka tidak lama lagi, terdapat destinasi serta sebab terbaik untuk masing-masing berkelana secara pinjaman.

1. Najmuddin Akmal (Perak FC)

Gandingan dua penyerang Perak FC, Hadi Fayyadh Abd Razak dan Christian Obiozor boleh dianggap sebagai menghampakan apabila masing-masing masih belum membuka akaun dalam Liga Super.

Hadi yang berkelana ke Jepun untuk bermain bersama Fagiano Okayama dan Azul Claro Numazu untuk beberapa musim seolah-olah tidak membantu jentera serangan pasukan.

Sementara itu, Obiozor yang tiba dengan kelebihan dari segi fizikal juga tidak memberikan sebarang ancaman terhadap pihak lawan dengan kelibatnya sudah tidak lagi kelihatan bersama skuad The Bos Gaurus (TBG).

Jadi, dengan Perak FC hanya menjaringkan 10 gol dalam 15 perlawanan Liga Super, solusi segera semestinya akan dicari untuk baki musim 2023.

WhatsApp Image 2023-06-27 at 20.14.54

Najmuddin sudah berkali-kali dikaitkan dengan Perak FC. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Ketika ini, pihak pengurusan Perak FC difahamkan sedang cuba untuk membawa masuk pemain import yang lebih berkualiti bagi menerajui jentera serangan pasukan.

Namun, melihat kepada kos yang perlu dilaburkan kepada beberapa aspek lain, kelab Utara tanah air itu semestinya perlu berbelanja dengan lebih berhemah.

Oleh itu, penyerang muda JDT II, Najmuddin Akmal dilihat sebagai alternatif terbaik dengan namanya sudah dikenali rata-rata pengikut setia bola sepak tanah air.

Sebelum ini, terdapat ura-ura bahawa pemain berkenaan sudah hampir dengan perpindahan ke Perak FC, namun ia tidak dapat dimeterai berdasarkan perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Bobie Farid Shamsudin mengesahkan hal itu.

Tetapi, dengan Najumddin terus tersisih dalam skuad simpanan JDT, terdapat kemungkinan persetujuan kedua-dua pihak mampu dicapai, lebih-lebih lagi sekiranya berbentuk pinjaman.

2. Daryl Sham KK George (Kedah Darul Aman FC)

Musim lalu, nama penyerang muda, Daryl Sham KK George mencuri perhatian ramai apabila muncul sebagai pemenang Kasut Emas kategori pemain tempatan Liga Perdana.

Sumbangan tersebut terus menempa namanya sebagai salah seorang prospek terhangat negara, lebih-lebih lagi dengan usianya yang baru sahaja mencecah 20 tahun.

Tubuhnya yang kecil bijak digunakan apabila dia sering melepaskan diri daripada kepungan pihak lawan dengan kebolehan untuk menggelecek bola dalam ruang yang kecil.

Namun, setakat ini, Daryl masih gagal menembusi skuad utama JDT, sekali gus menyebabkannya terpaksa mengumpul minit permainan dalam Piala MFL.

WhatsApp Image 2023-06-27 at 20.15.38

Daryl Sham sudah menempa nama meskipun usianya masih muda. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Hal berkenaan dikatakan berpunca daripada lambakan penyerang berkualiti dalam skuad Liga Super Harimau Selatan, seperti Bergson da Silva dan Diogo Luis Santo.

Bagaimanapun, isu tersebut jelas tidak menyekatnya daripada terus membuktikan ketajamannya di hadapan pintu gol lawan memandangkan JDT II kini berada di tangga kedua Kumpulan A.

Tetapi, dengan jendela perpindahan kedua Liga Super bakal dibuka tidak lama lagi, terdapat peluang untuknya mencari minit permainan dalam pentas tertinggi bola sepak tanah air.

Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat sebagai destinasi terbaik memandangkan jentera serangan mereka sudah tumpul berikutan kehilangan penyerang import, Willian Lira.

Bagaimanapun, dengan Daryl Sham terus mengukuhkan tempatnya dalam skuad muda JDT, terdapat kemungkinan besar hasratnya untuk berkelana tidak dapat dipersetujui.

3. Ramadhan Saifullah (Sri Pahang FC)

Anak jati Johor Bharu, Johor, Ramadhan Saifullah boleh dianggap sebagai salah seorang penyerang muda ternama baik dalam kalangan penyokong JDT mahupun peminat setia bola sepak tanah air.

Selepas merekodkan debut dalam skuad senior pada 2020, pemain berusia 22 tahun itu kerap diberikan peluang, lebih-lebih lagi ketika Piala FA ataupun Piala Malaysia.

Musim ini, Ramadhan juga sering diberikan peluang untuk tampil sebagai pemain simapanan pada penghujung perlawanan, termasuk dalam Liga Super.

356143543_2613600325469917_6974172487532775188_n

Ramadhan sudah serasi bersama skuad senior Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, dengan dia masih berada dalam permulaan kariernya, adalah lebih baik untuknya mencari destinasi baharu secara pinjaman Julai nanti.

Ketika ini, terdapat khabar angin yang mengatakan Sri Pahang FC berminat mendapatkan Ramadhan dalam usaha untuk menambah baik barisan serangan mereka.

Sebelum ini, kelab Pantai Timur itu difahamkan memasang cita-cita untuk mendapatkan seorang lagi pemain sayap JDT, Safawi Rasid yang sudah kehilangan tempatnya dalam pasukan.

Namun, dengan pemain berusia 26 tahun berkenaan sudah menegaskan hasratnya untuk kekal, ia seakan-akan menutup pintunya untuk berkelana secara sementara.

Ramadhan dilihat sebagai alternatif terbaik memandangkan penyerang muda itu mempunyai kebolehan untuk beraksi dalam pelbagai posisi menyerang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram