‘Mereka boleh bolos 7 gol’, Bojan Hodak tahu kekuatan JDT, bongkar punca kekalahan Selangor


  • Podium
  • Rabu, 28 Jun 2023

Bojan meraikan kejayaan KL City bersama penyokong The City Boys di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad. — Facebook/KL City

SEPERTI sudah dijangka penyokong bola sepak tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) mudah melangkah ke pentas akhir Piala FA selepas menundukkan Selangor dengan keputusan 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Isnin.

Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk mengaibkan Gergasi Merah selepas jaringan gol seawal minit ke-20 hasil sumbangan Arif Aiman Hanapi.

Paling menarik, Pemain Paling Bernilai (MVP) 2022, Arif Aiman merekodkan jaringan hatrik sebelum tamat separuh masa pertama.

Fernando Forestieri turut menambah duka Selangor selepas menjaringkan gol selepas dua minit separuh masa kedua bermula.

356639639_739800101485054_5372897821736474365_n

Keputusan akhir separuh akhir Piala FA antara JDT dan Selangor.

Kuala Lumpur City FC (KL City) bakal menjadi lawan JDT di pentas akhir selepas mereka berjaya menewaskan Terengganu FC menerusi sepakan penalti.

Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak berpendapat Selangor boleh dibolosi dengan tujuh atau lapan gol ketika menentang JDT.

"Jika anda bermain menentang pasukan yang dibarisi ramai pemain terbaik negara ini, maka bukan satu idea yang bagus untuk bermain secara terbuka. Sebab anda tahu anda akan melepaskan empat gol.

“Dan sebenarnya, Selangor FC bernasib baik kerana mengikut jurulatih mereka, mereka boleh saja dibolosi tujuh, lapan gol atau lebih," katanya kepada Nadi Arena.

Bojan juga sempat mendedahkan pendekatan yang akan digunakan oleh KL City ketika bertemu JDT di pentas akhir Piala FA nanti.

"Jadi, sudah tentu kita perlu cari cara untuk halang penyerang mereka terlebih dahulu sebelum mencari ruang untuk melancarkan serangan balas. Di Malaysia, hanya pasukan kebangsaan Malaysia saja yang boleh bermain secara terbuka menentang JDT.

“Tidak, tiada permainan terbuka untuk JDT. Bertahan boleh tetapi anda perlu fikir macam mana nak menang. Anda perlu jadi berani kerana seperti final 2021, pastikan anda perlu jadi lebih berani.

“Ya, kita bertahan. Kita halang mereka dan kita tiada Pelan B. Pada akhirnya, kita lancar serangan balas dan jaringkan dua gol. Jadi, saya fikir ini cara (terbaik)," jelasnya.

JDT dan KL City bakal bertemu di pentas final pada 22 Julai ini di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Pemenang piala FA bakal mendapat slot kelayakan ke peringkat Asia musim hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram