MENJELANG jendela perpindahan kedua pemain pada musim ini, pasukan Perak FC dijangka akan membariskan beberapa muka baharu bagi meneruskan aksi Liga Super menentang Kelantan United FC kelak.
Tewas lima perlawanan berturut-turut dalam perlawanan terdahulu, penyokong skuad Seladang menggesa perubahan serta pembaharuan wajah dari segi taktikal khususnya pemain yang bakal disenaraikan dalam pertemuan tersebut.
Perak yang ketika ini menduduki tangga keempat tercorot liga, hanya memungut sembilan mata dari 15 perlawanan ditempuh setakat ini.
Secara logiknya, perebutan posisi lima pasukan teratas kian semakin sukar buat anak-anak buah Yusri Che Lah namun, Perak masih berpeluang untuk mengelak daripada menjadi pasukan tercorot pada musim ini dengan beberapa lagi perlawanan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka.
Terbaharu, seorang pemain dari pasukan BRM FC yang beraksi di Liga M3, Aziz Ismail dikatakan sebagai calon individu yang bakal dibawa masuk ke skuad Seladang.
Aziz Ismail disebut sebagai pemain baharu Perak menjelang jendela perpindahan kedua nanti. — Facebook/BRMFC
Beraksi di posisi pertahanan kiri pasukan, kelibat Aziz Ismail dijangka akan berperanan sebagai 'tanker' utama bersama Sunday Afolabi yang bermain di bahagian kanan.
Untuk rekod, pemain kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan berusia 34 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama Kelantan FC pada 2017 sebelum berhijrah ke pasukan di Liga M3 tersebut.
Meskipun namanya kurang dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, namun bagi penonton di Kelantan pastinya pernah terlihat akan kelibatnya yang merupakan antara tonggak utama pasukan itu ketika di bawah kendalian Zahasmi Ismail pada 2020.
Dengan usia yang boleh dikatakan sudah cukup matang dalam arena bola sepak tanah air, Aziz Ismail juga diharapkan mampu menjadi contoh serta pemimpin dalam pasukan Perak yang rata-ratanya dibarisi ramai pemain muda pada musim ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak (CEO) FC, Bobie Farid Shamsudin selepas tamat perlawanan menentang PDRM FC pada Jumaat sebelum ini dikatakan akan membuat pengumuman mengenai beberapa muka baharu yang akan dibawa masuk.
Tewas 1-2 di halaman sendiri, keputusan itu pastinya mengundang tekanan buat pengurusan pasukan dalam membuat perancangan terbaik untuk menghadapi saingan berikutnya nanti.
Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang perkhabaran dikongsikan di laman Facebook rasminya, TBG Super Fan dengan ia pastinya menjadi tumpuan penyokong setia pasukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram