TUGAS ketua pasukan dalam sesebuah skuad bola sepak sememangnya memainkan peranan penting dalam mengawal pergerakan serta tempoh permainan rakan sepasukan dengan pengalaman dimiliki amat ditagih ketika beraksi di atas padang.
Skuad Harimau Malaya satu ketika dahulu pernah dibarisi beberapa pemain yang sinonim dengan panggilan kapten iaitu Shukor Adan, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan yang masing-masing mempunyai aura serta pengaruh tersendiri untuk memimpin pasukan.
Saban tahun, posisi tersebut semakin bertukar tempat dengan beberapa pemain juga pernah diberikan tanggungjawab selaku ketua pasukan namun, pengaruh ketiga-tiga individu di atas masih belum dapat dicabar mana-mana pemain setakat ini.
Malaysia yang dibarisi ramai pemain naturalisasi dan berdarah kacukan luar negara, sewajarnya memiliki ramai pilihan yang mampu menggalas tugas selaku kapten bagi mengambil alih posisi ditinggalkan sebelum ini.
Tidak menolak bahawa posisi itu amat mementingkan pengalaman serta perwatakan pemimpin yang mampu memberi arahan, dua pemain warisan yang kerap kali mendapat tempat di hati penonton dan jurulatih disenaraikan sebagai calon terbaik untuk diberikan tugas tersebut.
Skuad kebangsaan sebelum ini pernah diketuai Safiq Rahim yang cukup dikenali sengan sifat kepimpinan tinggi dalam pasukan. — FAM
Penyokong khususnya mahu melihat kelainan bagi skuad Kim Pan-gon kali ini dengan pemain berdarah kacukan berpengalaman iaitu Corbin Ong dan Mathew Davies dipilih sebagai ketua pasukan era baharu Harimau Malaya.
Meskipun berstatus sebagai pemain warisan, kredibiliti serta pengalaman dimiliki sepanjang mewakili skuad kebangsaan tidak boleh dipertikaikan lagi susulan kejayaan demi kejayaan sudah dikecapi oleh kedua-dua pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu.
Corbin Ong yang beraksi di posisi pertahanan kiri, sememangnya mempunyai ketangkasan dalam membuat larian serta perebutan bola di udara yang kerap kali menyumbang kepada jaringan rakan sepasukannya.
Mula dibawa masuk selaku pemain JDT pada 2018, Corbin Ong kemudiannya membuat penampilan pertamanya bersama skuad Harimau Malaya ketika perlawanan antarabangsa menentang Nepal pada 2019.
Sejak detik itu, namanya tidak pernah lekang daripada senarai pilihan jurulatih kebangsaan yang kerap kali menurunkan pemain itu di posisi pertahanan kiri negara.
Tampil dengan semangat juang tinggi dalam setiap perlawanan, membuatkan namanya antara pilihan penyokong yang terbuka untuk memberikan lilitan kapten padanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pemain JDT, Matthew Davies juga antara yang mencuri perhatian penonton susulan aksi cemerlang dipamerkan dalam tempoh 90 minit di atas padang.
Matthew Davies antara pertahanan terbaik yang pernah dimiliki skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia ini mula beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) pada 2015 bersama pasukan Pahang FA, sebelum menyertai JDT pada 2020.
Pernah bermain dengan kelab Australia, Perth Glory dan mempunyai 19 penampilan dalam A-League, Matthew Davies dipanggil menyertai skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) pada 2015 dan kini merupakan antara tonggak penting dalam kempen Piala Asia 2023.
Sering digandingkan dengan Corbin Ong dalam skuad kebangsaan mahupun di kelabnya JDT, keserasian serta persefahaman antara kedua-dua pemain ini cukup untuk melayakkan mereka dicalonkan sebagai ketua pasukan Harimau Malaya.
Turut tersenarai sebagai 27 pemain yang terpilih menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea dalam siri persahabatan baru-baru ini, ia jelas menunjukkan betapa kelibat pemain JDT itu sentiasa ditagih Kim Pan-gon yang memerlukan khidmat mereka di posisi kiri dan kanan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram