[VIDEO] Kes langgar lari, isteri tercampak keluar kereta sampai berguling dirempuh dari belakang di Kamunting


  • Tular
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Kenderaan si pelaku yang cuba melarikan diri selepas terbabit kemalangan di jalan Yawata, Kamunting, Perak. — Facebook

SATU kemalangan ngeri dilaporkan berlaku di jalan Yawata, Kamunting, Perak apabila seorang wanita dilihat tercampak keluar dari kenderaannya pada Jumaat.

Insiden itu tercetus apabila kenderaan mangsa dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lagi kereta yang memandu laju di kawasan berkenaan.

Gagal mengelak daripada pelanggaran tersebut, wanita terbabit yang merupakan penumpang di bahagian hadapan terpelanting lalu berguling ke bahu jalan selepas keretanya hilang kawalan.

Meraih lebih 30,000 jumlah tontonan di Facebook, rakaman tular itu hangat diperkatakan warganet.

Mengulas lanjut berhubung kemalangan tersebut, suami si mangsa kemudiannya menjelaskan situasi sebenar di ruangan komen.

Jelasnya, si pelaku yang melarikan diri selepas pelanggaran terbabit, kemudiannya dikejar beberapa penunggang e-hailing yang berada di tempat kejadian.

"Saya yang kena langgar dalam video itu, kereta merah langgar kami dari arah belakang dan melarikan diri.

"Alhamdulillah penunggang Foodpanda kejar dan dapat tahan dia, isteri saya yang tercampak tak ada apa-apa yang teruk, semuanya selamat," ujarnya.

Cubaan si pelaku meloloskan diri juga menemui jalan buntu apabila berjaya ditahan dan diserahkan ke pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Namun, sehingga kini masih belum ada kenyataan polis berhubung insiden terbabit dan orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram