MASYARAKAT Malaysia ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran serta desakan kewangan dari segi keperluan semasa, kos sara hidup dan perbelanjaan seharian yang semakin meruncing hari demi hari.
Ia susulan masalah kegawatan ekonomi dihadapi negara yang sekali gus menyebabkan masyarakat menjadi mangsa dalam situasi berkenaan.
Permasalahan ini menjerumus kepada beberapa isu yang sentiasa menjadi tumpuan rakyat kebelakangan ini yang mula mendesak penambahbaikan dilakukan kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Akur dengan situasi kritikal yang melanda negara, masyarakat hanya mengharapkan tiga masalah di bawah mampu diatasi dengan kadar segera susulan kos bebanan tinggi dihadapi, sebahagian besarnya berpunca daripada perkara berkenaan.
1. Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR)
Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia pada ketika ini menetapkan jumlah OPR sebanyak 3.0% yang menyaksikan kadar kenaikan buat kali kelima berturut-turut pada tahun ini.
Peratusan itu dikatakan bakal bertambah menjelang separuh kedua 2023 nanti susulan kenyataan pihak CGS-CIMB Research yang menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.25%.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana OPR ini mampu kekal pada kadar semasa dan apakah kesan kepada rakyat sekiranya situasi tersebut berterusan dalam tempoh masa panjang.
Menggesa agar industri perbankan dan BNM lebih sensitif dengan keadaan ekonomi rakyat, masyarakat melihat ia sebagai perkara yang hanya menguntungkan pihak kerajaan dengan perkembangan itu boleh menyebabkan rakyat tambah tertekan, apatah lagi kenaikan baharu dijangka Oktober depan.
2. Hilang kuasa membeli
Peningkatan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi menyebabkan rakyat semakin hilang kuasa membeli dan perbelanjaan pengguna di negara ini dijangka lebih perlahan dari tahun sebelumnya.
Perbelanjaan keperluan seharian penduduk kian merudum dan mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi negara dengan lambakan hasil barangan tempatan yang tidak terjual akibat harga semasa yang semakin meningkat dan tidak terkawal.
Selain itu, gangguan rantaian bekalan seperti penutupan sektor tertentu menjadi antara punca kenaikan harga barang terutamanya harga makanan yang secara tidak langsung mengakibatkan gangguan kepada sektor pengeluar ataupun pembekal apabila terpaksa gulung tikar.
Dengan kos sara hidup yang semakin mahal, rakyat yang berisi pendapatan rendah akan lebih terkesan apabila perlu mencari sumber kewangan tambahan untuk menampung perbelanjaan tinggi yang gagal dibendung kerajaan Madani.
3. Kejatuhan wang ringgit
Ringgit Malaysia pada ketika ini mencatatkan jumlah perbezaan sebanyak RM4.68 berbanding Dolar Amerika Syarikat (ASD).
Situasi itu kian meresahkan masyarakat dengan ia boleh melibatkan sebahagian besar kewangan negara yang akan turut terkesan dengan masalah tersebut.
Inflasi mungkin berlaku apabila barangan import yang lebih mahal akan meningkat dan menyebabkan kesukaran kepada industri import serta eksport negara dengan kerugian mendadak boleh berlaku.
Di samping itu, kejatuhan nilai ringgit juga akan memberikan kesan yang ketara kepada mahasiswa yang menuntut di luar negara. Perbelanjaan mereka akan mengecil dan terbeban untuk membayar yuran pengajian yang terlampau jauh perbezaan jurangnya dengan mata wang Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram