KEPUTUSAN pasukan Perak FC membariskan penyerang Hadi Fayyadh ke skuad muda B23 dalam perlawanan Piala MFL dilihat mula membuahkan hasil dengan pemain itu berjaya menjaringkan gol sulungnya pada musim ini.
Selepas gagal mempamerkan persembahan cemerlang dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini, pemain berusia 23 tahun itu berjaya menutup segala kritikan penyokong yang selama ini mengkritik persembahannya selepas gagal menjaringkan sebarang gol.
Meskipun berjaya memecah kebuntuan seawal minit ke 24, Perak FC II akhirnya tewas 1-2 kepada Selangor FC II menerusi jaringan di minit akhir perlawanan separuh masa kedua.
Namun, situasi itu mendapat pujian ramai dengan situasi tersebut dilihat sebagai satu langkah perlu dijadikan ikutan beberapa pemain dari pasukan lain yang turut mengalami masalah prestasi.
Berikut merupakan tiga pemain kelab lain yang dikatakan perlu mengikut jejak langkah diturunkan ke skuad simpanan menjelang saingan kedua Liga Super musim ini:
Nur Shamie Iszuan
Mewakili skuad Sri Pahang FC pada musim ini, Shamie Iszuan gagal mendapat tempat dalam saingan musim ini susulan kecederaan lutut kiri dialami pada aksi persahabatan berdepan PDRM FC tiga hari sebelum saingan liga bermula.
Hanya empat penampilan diperoleh setakat ini, menyaksikan betapa pemain itu sememangnya ketandusan minit permainan dan aksi dalam perlawanan sepanjang bersama skuad utama kelab berkenaan.
Masih dalam percubaan untuk mendapatkan rentak terbaik di atas padang, membuatkan Shamie Iszuan antara calon terbaik untuk diturunkan ke skuad simpanan yang dilihat mampu membantunya untuk kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama.
V.Ruventhiran
Pemain pertahanan kiri Selangor FC ini mempunyai kelebihan dari segi kelajuan dan kawalan bola yang mampu membantu pasukan Gergasi Merah.
Namun, kelibatnya di atas padang bersama skuad utama gagal menarik minat Tan Cheng Hoe untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama dengan pemain itu lebih kerap memanaskan bangku simpanan.
Posisinya lebih kerap dimainkan oleh seorang lagi individu berpengalaman kelahiran Klang, Selangor, iaitu Fazly Mazlan yang memperoleh 12 penampilan berbanding V. Ruventhiran yang hanya mencatatkan enam aksi dalam perlawanan.
Dengan saingan rapat yang diberikan pemain tersebut, membuatkan penampilannya semakin diragui bersama skuad utama Gergasi Merah yang sekali gus melihat ia sebagai keputusan yang wajar untuk pemain itu diturunkan ke skuad simpanan.
Zuasyraf Zulkiefle
Diturunkan selaku pemain tengah bertahan di Terengganu FC, kelibat Zuasyraf Zulkiefle juga dikatakan antara yang perlu mengikut jejak langkah sama seperti Hadi Fayyadh.
Khidmatnya bersama skuad utama Sang Penyu dikatakan kurang memberansangkan dengan kekurangan dari segi hantaran serta bantuan di benteng pertahanan, membuatkan pemain itu sentiasa menerima kecaman daripada peminat.
Dengan tujuh penampilan dimiliki setakat ini, pemain berusia 27 tahun itu belum mencatatkan sebarang jaringan mahupun bantuan gol yang mampu menjadi bukti mengapa dia masih perlu dikekalkan dalam skuad utama.
Justeru, ia bukanlah satu kesalahan untuk seseorang pemain itu diturunkan ke skuad simpanan, sebaliknya perkara itu diyakini mampu menaikkan lagi mutu persembahan dan prestasi pasukan secara keseluruhan.
Tiga pemain tersebut masih mempunyai harapan untuk terus menyinar jika pihak pengurusan peka dengan kelebihan dimiliki dan minit permainan merupakan cagaran utama setiap pemain di Liga Malaysia (Liga M) yang mahukan aksi mereka mendapat tempat di hati peminat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram