Bertemu Kijang Hijau, Kim Swee keluarkan senjata baharu dapatkan 3 mata di Pantai Timur


  • Podium
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Sabah FC dijangka memperkuat lagi skuad menjelang jendela perpindahan akan datang. — Facebook/Sabah FC

BAKAL bertemu Kelantan United pada 26 Jun ini, ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee kini giat mempersiapkan barisan pasukannya untuk bangkit bagi membawa pulang tiga mata penuh pada hari perlawanan itu nanti.

Ramuan Kim Swee sebelum ini dikatakan kurang membuahkan hasil apabila skuad The Rhinos merekodkan tiga kekalahan berturut-turut dalam perlawanan terdahulu, iaitu ketika menentang PDRM, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC.

Persembahan Sabah juga dikatakan kurang konsisten sekali gus meletakkan pasukan itu kini di kedudukan kelima liga dengan 24 mata selepas mengharungi 14 aksi Liga Super.

Walaupun pada awal musim Sang Badak menunjukkan aksi yang menarik apabila mencatatkan kemenangan sebanyak tujuh kali, namun anak-anak buah bekas jurulatih kebangsaan itu dilihat tidak mampu untuk mengekalkan momentum tersebut.

Mohamad Syafirull (dua dari depan) sedang melakukan latihan bersama skuad senior. — Facebook/Sabah FC

Justeru, bagi menghadapi serangan daripada skuad Kijang Hijau, Kim Swee dipercayai akan mempertaruhkan senjata baharu untuk diturunkan beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV.

Pemain penyerang yang dimaksudkan ialah, Mohamad Syafirull Jefry yang juga merupakan pemain dalam pasukan Sabah FC Bawah-23.

Ura-ura itu timbul selepas kelibatnya dilihat sedang berlatih bersama skuad senior dalam beberapa foto yang dikongsikan di Facebook Sabah Football Club pada Jumaat.

Meskipun belum pernah beraksi bersama dalam Liga Super, pemain muda itu dikatakan berpengalaman dalam saingan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bersama skuad Sabah FC U23.

Dengan pengalaman itu, dia diharapkan dapat membantu Sang Badak untuk meningkatkan prestasi permainan ke tahap yang lebih baik.

Darren Lok difahamkan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami. — Facebook/Sabah FC

Apatah lagi, penyerang tunggal senior, Darren Lok difahamkan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami.

Sebelum ini juga, kekalahan pasukan Borneo itu di tangan The Cops dikatakan berpunca daripada ketiadaan penyerang skuad kebangsaan itu di bahagian serangan sehingga menjejaskan rentak permainan pasukan berkenaan.

Melihatkan keadaan tersebut, ada kemungkinan Mohamad Syafirull bakal menjadi pilihan Kim Swee untuk diturunkan pada kali ini.

Meskipun pihak pengurusan The Rhinos sebelum ini mengumumkan kemasukan pemain import terbaharu iaitu Ramon Machado de Macedo dalam jendela perpindahan kedua Liga Super 2023 musim ini, dia belum boleh dibenarkan untuk turun beraksi kerana masih belum didaftarkan.

Pada masa sama, kemasukan pemain sayap kanan baharu, Miguel Cifuentes juga diharap dapat memberikan sinergi baharu dalam membantu Sabah FC. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram