SELEPAS berteka-teki mengenai siapakah bakal dibawa oleh Sabah FC untuk bergandingan dengan Darren Lok di bahagian serangan, pihak pengurusan akhirnya mendedahkan tonggak import baharu mereka.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan skuad Sang Badak, pihak pengurusan mengumumkan kemasukan import dari Brazil, Ramon Machado de Macedo sebagai sebahagian keluarga Sang Badak dalam jendela perpindahan kedua Liga Super 2023 musim ini.
Kehadiran Ramon Machado dalam skuad Sabah FC sememangnya ditunggu-tunggu oleh penyokong berikutan Sang Badak masih lemah di bahagian serangan.
Ramon Machado diumumkan sebagai penyerang baharu Sabah FC. — Facebook/Sabah
Jika dilihat kembali juga pada senarai penjaring terbanyak Sang Badak, pemain tengah, Park Tae-su menjadi sandaran utama untuk menjaringkan gol dan setakat ini import Korea Selatan itu sudah mencetak enam jaringan.
Dengan kehadiran penyerang baharu kelahiran Brazil tersebut, pastinya Sabah FC akan meletakkan harapan kepada Ramon Machado dan pasukan lawan turut tertanya-tanya siapakah gerangannya.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga sebab kehadiran Ramon Machado akan menjadi ancaman kepada pasukan Liga Super lain pada pusingan kedua nanti;
1) Jaringan gol
Ramon Machado ketika menerima pingat Piala Azerbaijan iaitu ketika menumpaskan Neftchi Baku 1-0 dalam pentas final. — Instagram/Ramon
Seorang penyerang akan dinilai prestasinya dari sudut jaringan gol dan pemain berusia 32 tahun itu membuktikan sentuhannya di hadapan gawang lawan dengan mencetak 10 jaringan bagi semua pertandingan yang disertai FK Qabala.
10 jaringan gol dan empat hantaran bantuan itu dicipta ketika Ramon Machado beraksi bersama FK Qabala dengan 32 penampilan dalam saingan Liga Azerbaijan.
Malah, Ramon Machado juga merupakan antara penjaring terbanyak pasukan yang kini berada di tangga keempat liga itu dengan jumlah lapan jaringan gol bagi saingan Liga Perdana Azerbaijan.
Hampir setahun bersama pasukan Liga Divisyen Satu Azerbaijan itu namun pemain dengan gelaran 'star boy' dalam kalangan penyokong itu melakar sejarah dengan merangkul Piala Azerbaijan iaitu ketika menumpaskan Neftchi Baku 1-0 dalam pentas final.
Jika dilihat kepada jumlah gol keseluruhan sejak karier profesionalnya bermula, Ramon Machado sudah merekodkan 42 jaringan gol dan 21 hantaran bantuan.
2) Pengalaman liga
Ramon Machado ketika menyarung jersi kelab Brazil, Gremio Esportivo Brasil. — Instagram/Ramon
Selain beraksi bersama pasukan Eropah Tengah, Ramon Machado mempunyai pengalaman beraksi di Liga Brazil sejak bermula kariernya sebagai pemain bola sepak profesional pada 2013.
Antara pasukan terkenal Brazil pernah menerima khidmat Ramon Machado ialah, Esporte Clube Juventude iaitu kelab yang turut dianggotai pemenang Kasut Emas, Bergson Da Silva.
Penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu pernah menyertai Juventude pada 2013 secara pinjaman, manakala Ramon Machado pada 2018.
Mesikpun tidak pernah beraksi di saingan Asia Tenggara seperti Liga Malaysia (Liga M), namun Ramon Machado pasti tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri.
Misalnya, ketika berhijrah ke Azerbaijan pada 2021, Ramon Machado hanya memerlukan dua kali penampilan untuk mencetak dua jaringan bersama pasukan Neftchi Baku.
3) Jarang cedera
Ramon Machado hanya mengalami tiga kecederaan sepanjang bergelar pemain profesional. — Instagram/Ramon
Isu kecederaan sering menimpa Sabah FC musim ini, yang mana menyaksikan pemain utama seperti Saddil Ramdani dan Darren Lok menjadi mangsa dan terpaksa dipinggirkan dalam beberapa perlawanan utama The Rhinos.
Jika dilihat pada sejarah kecederaan, Ramon Machado tidak mempunyai rekod kecederaan yang teruk iaitu kecederaan otot, hamstring dan kekoyakan otot.
Kali terakhir Ramon Machado cedera adalah pada Januari tahun ini dan kecederaan otot yang dialaminya itu hanya mengakibatkan dia terlepas dua perlawanan liga.
Dengan persiapan Sabah FC yang bakal membuat penampilan di saingan Piala AFC, Ramon Machado pasti tidak mempunyai masalah untuk beraksi di setiap perlawanan dan mengemudi bahagian serangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram