NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
GAMBARAN Jailton Paraiba yang dipakaikan pendakap leher dan kaku ketika dibawa di atas pengusung ke dalam ambulans di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat lalu, benar-benar menimbulkan cemas dalam pasukan Sabah FC.
Kalah 1-2 kepada tuan rumah malam itu – kali ketiga buat skuad Sang Badak itu dalam pusingan pertama liga – dikhuatiri membawa bersamanya khabar lebih buruk terhadap kemungkinan pemain kelahiran Brazil itu berisiko berehat panjang.
Kemunculan Jailton (kiri) dalam sesi latihan selepas mengalami kecederaan memberikan khabar gembira buat pasukannya. —Facebook/Sabahfootballclub
Kini, kembalinya pemain sayap berusia 32 tahun itu yang telah diberi pelepasan doktor untuk menyambung aksi, tidak sekadar membawa kelegaan kepada pegawai dan rakan sepasukan, malah turut meniupkan rangsangan untuk mereka bangkit menebus kekalahan.
“Saya benar-benar khuatirkan keadaannya pada malam itu. Kecederaan di kepala atau leher tidak akan membuat mana-mana jurulatih pun boleh berasa tenteram sehingga mendapat pengesahan doktor.
“Mujurlah dia tiada apa-apa untuk dirisaukan lagi. Ujian imbasan menunjukkan tiada gegaran otak atau kecederaan di leher untuk dia disahkan boleh kembali beraksi segera.
“Jailton sudah menyertai latihan semula. Ini memberikan kami kelegaan besar di samping menjadi motivasi yang baik buat pasukan,” kata ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, kepada Laptop Cabuk.
Jailton ketika diusung keluar akibat kecederaan yang dialami. —Facebook/Sabahfootballclub
Dalam insiden pada minit ke-27 perlawanan, Jailton yang sedang melarikan bola sejurus melepasi bulatan di tengah padang dilihat berlanggar dengan pemain pertahanan, Bojan Ciger, hingga terpelanting dengan kepalanya lebih dahulu terhentak ke tanah.
Wajah-wajah cemas pegawai pasukan boleh dilihat di tepi padang tatkala Jailton diusung ke dalam ambulans untuk dikejarkan ke hospital, dengan tempatnya digantikan oleh Stuart Wilkin ketika permainan terhenti kira-kira lima minit.
Di sebalik satu keadaan yang dianggap selesai, satu masalah lain pula terus mengusutkan fikiran ketua jurulatih itu yang menyaksikan pasukannya bolos dalam perlawanan keempat berturut-turut –dimulai seri 2-2 dengan Terengganu FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 19 Mei lalu.
“Sudah empat perlawanan yang kami bolos selepas mendahului. Isu utamanya ialah kami harus memastikan ia tidak terus berulang dan berulang lagidi sebalik kami sudah sering mengingatkan diri sendiri.
“Ketika berdepan Kedah, kami mendapat gol awal dan sekali lagi kami hilang fokus sesudah itu. Akibatnya, kami terhukum oleh gandingan baik barisan serangan mereka, Lee Tuck, (Willian) Lira dan (Manuel) Hidalgo.
“Ia bagus untuk kami mendahului awal tapi kami harus terus belajar bagaimana untuk mengekalkanatau menambah pendahuluan kami dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang sama,” katanya mengenai jaringan Gabriel Peres seawall minit kelapan sebelum Kedah bangkit dengan gol berganda Tuck.
“Kami harus bersikap realistik bahawa Kedah bermain lebih baik untuk menyekat kami. Namun, saya masih boleh berpuas hati dengan petanda positif bahawa kami masih mampu mencipta beberapa peluang dalam perlawanan itu,” katanya.
Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dalam sesi latihan di Lembah Klang. —Facebook/Sabahfootballclub
Kim Swee turut meraih sedikit sagu hati dengan hakikat bahawa dua pasukan dalam kelompok tiga teratas turut tewas pada minggu yang sama – Selangor FC tunduk 0-1 kepada PDRM FC manakala Sri Pahang FC kalah 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC.
“Ia menunjukkan pasukan-pasukan dari kelompok pertengahan akan bangkit dengan lebih kuat apabila liga memasuki pusingan kedua.
“Carta menunjukkan Sabah FC dibezakan dengan jurang mata yang tipis dengan Sri Pahang dan Selangor, yang bermakna kami tidak berada di kedudukan yang terlalu buruk.
“Apa yang jelas ialah kami perlu mempamerkan permainan lebih konsisten agar tidak terus ditinggalkan oleh pasukan-pasukan yang berada di atas,” tambahnya.
Konsistensi yang dimaksudkannya haruslah bermula dengan perlawanan pertama pusingan kedua menentang lawan yang berjurang lapan mata di tangga kesembilan, PDRM FC, di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada Khamis.
Kelibat Jailton dalam sesi latihan bersama Sang Badak. —Facebook/Sabahfootballclub
Kim Swee menaruh rasa hormat yang tinggi terhadap skuad The Cops kendalian Azzmi Aziz itu, apatah lagi selepas kejayaan mereka mengejutkan Selangor FC 1-0 di gelanggang yang sama, Sabtu lalu.
“Selepas kalah di tangan Kedah, kami tiada pilihan lain kecuali mengharapkan tiga mata daripada pertemuan dengan PDRM FC. Saya percaya lawan juga mahu meneruskan rentetan cemerlang mereka.
“Saya jangkakan satu lagi saingan sengit kerana daripada pemerhatian saya, PDRM sebuah pasukan yang sangat berdisiplin daripada segi taktikal dengan bertahan beramai-ramai dan pantas menggunakan serangan balas.
“Kami tidak boleh mengambil mudah, tidak boleh hilang fokus ketika mengatur serangan selain perlu lebih kreatif mengubah permainan mengikut situasi di dalam permainan,” katanya lagi.
Di sebalik kehadiran semula Jailton, skuad The Rhinos itu, bagaimanapun, terpaksa meneruskan perjuangan tanpa dua tonggak barisan depan, Darren Lok dan Saddil Ramdhani, yang masih menjalani rawatan.
“Kami perlu cuba ambil kesempatan dari peringkat awal permainan lagi. Jika kami dapat mengelak daripada bolos dalam perlawanan ini, ia akan kami anggap satu keputusan yang baik,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram