Calon penjaring terbanyak Sabah FC 'is back', gandingan dengan Cifu dijangka meletup


  • Podium
  • Rabu, 21 Jun 2023

Darren kini sudah menyumbat empat gol daripada 12 perlawanan bersama Sabah FC pada musim ini. — Facebook/SabahFC

SELEPAS hampir tiga minggu tersisih akibat isu kecederaaan, kehadiran semula penyerang Sabah FC, Darren Lok dalam sesi latihan pada Selasa memberikan semangat baharu kepada skuad Negeri Di Bawah Bayu itu.

Perkongsian gambar pemain berusia 31 tahun itu di Facebook rasmi skuad Sang Badak memberikan tanda-tanda bahawa penyerang tahun itu semakin hampir untuk kembali pulih dan bakal memperkuatkan barisan hadapan pasukan tidak lama lagi.

Pada sesi tersebut, Darren dilihat tidak menyertai rutin bersama skuad utama apabila dia dilihat hanya memakai kasut sukan dipercayai kerana sedang menjalankan proses pemulihan.

Perkembangan tersebut semenangnya ditunggu-tunggu oleh penyokong Sabah FC yang mengharapkan kepulangan pemain tersebut.

Ia lebih-lebih lagi selepas skuad Sang Badak menanggung kekalahan berturut-turut dalam dua perlawanan terakhir sebelum liga mula berehat pada 8 Jun lalu bagi memberi laluan kepada minggu perlawanan antarabangsa.

355452748_646551347511560_3065379145364760124_n

Darren menjalani sesi pemulihan di padang latihan Sabah FC pada Selasa. —Facebook/SabahFC

Dua kekalahan itu masing-masing di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-2 dan PDRM FC 0-1.

"Semoga cepat pulih daripada kecederaan dan mendapat rentak permainannya secepat mungkin dan membantu Sabah FC menjaringkan gol," tulis Romzi Ramlee.

Pada masa sama, kemasukan pemain sayap kanan baharu, Miguel Cifuentes juga diharap dapat memberikan sinergi baharu dalam membantu Darren mendapatkan semula sentuhan peledak gol yang pernah dimiliknya semasa bersama Petaling Jaya (PJ) City FC pada musim lalu.

"Diharapkan dengan adanya penambahan pemain, DL28 (Darren) akan dapat sentuhan pemusnahnya kembali," ujar Syameer Miqkhail.

"Calon penjaring terbanyak musim ini. mantap penyerang ni," kata Michael Scofield.

Untuk rekod, sebelum disisihkan akibat kecederaan, Darren menjadi pilihan utama pengendali skuad Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dalam kesemua 12 perlawanan skuad Sang Badak.

Daripada aksi tersebut, dia berjaya mencatatkan empat gol, iaitu satu rekod yang dilihat masih belum mencapai jumlah pencapaiannya ketika bersama PJ City FC.

Ketika bersama skuad berpangkalan di Lembah Klang itu, Darren mencatatkan 10 gol daripada 20 perlawanan yang diharunginya.

Setakat ini, pemegang rekod jaringan terbanyak musim ini dipegang oleh penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri dengan 15 gol diikuti Ayron Del Valle, Selangor FC (13 gol) dan Bergson Da Silva dari JDT (9 gol).

Darren dilihat mempunyai baki lebih dua minggu untuk pulih sebelum Sabah FC kembali memulakan aksi Liga Super 2023 dengan melayan kunjungan Kuching City FC di Stadium Lika, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Julai depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram