DUA kekalahan berganda Sabah FC termasuk tewas 1-2 di tangan Kuala Lumpur (KL) City dalam saingan Piala FA jelas memberikan tamparan cukup besar kepada pasukan yang menghabiskan musim lalu dengan menghuni kedudukan ketiga itu.
Walaupun skuad Sang Badak menampil persembahan cemerlang pada awal musim dengan mengekalkan rekod tanpa kalah selama lima kali berturut-turut namun kini hanya aksi kurang konsisten menjadi luahan ketidakpuastian penyokong.
Baru-baru ini persembahan skuad The Rhinos sekali lagi menjadi tajuk utama perbincangan penyokong susulan kekalahan 1-2 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Antara kelemahan ketara The Rhinos ialah ketumpulan jentera serangan dan perkara tersebut turut diakui sendiri oleh pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
Skuad Sang Badak ketika ini hanya memiliki satu penyerang tulen berkualiti, iaitu Darren Lok namun pemain kebangsaan itu masih gagal menunjukkan kemampuan terbaik setiap kali diturunkan.
Dalam 12 perlawanan Darren diturunkan, tonggak berusia 31 tahun itu hanya mencetak empat jaringan gol dalam saingan Liga Super dan ia bukanlah rekod yang memuaskan bagi seorang pemain bergelar penyerang.
Darren hanya mencatatkan empat jaringan gol untuk skuad Sang Badak pada musim ini. — Facebook/SabahFC
Oleh itu, tidak hairanlah jika pasukan berpangkalan di Borneo itu akan membuat perancangan untuk membawa masuk seorang lagi penyerang yang mampu menaikkan kedudukan mereka, sekali gus menjadi senjata di saingan Piala AFC nanti.
Berdasarkan khabar angin, bekas penyerang Liga Thailand, Diego Silva yang kini berstatus ejen bebas merupakan salah satu nama penyerang berada dalam senarai Sabah FC menjelang perpindahan kedua.
Selepas menabur bakti hampir setahun bersama kelab divisyen dua Thailand, Chainat FC, Silva kini menjadi rebutan beberapa pasukan Asia Tenggara dan salah satunya ialah skuad The Rhinos.
Jumlah 14 jaringan gol dan dua hantaran bantuan dalam 34 perlawanan pasti menjadi alasan kukuh untuk Sabah FC menggunakan khidmat pemain dengan gelaran Hulk itu untuk menyelesaikan masalah penyudah Sang Badak.
Penyerang kelahiran Brazil yang dikenali sebagai pemain mempunyai teknik sepakan kencang itu juga setidaknya mampu menjadi pemain gantian sekiranya Darren ditimpa kecederaan.
Seperti situasi yang berlaku ketika menentang skuad Sang Kenari, Sabah FC terpaksa menanggung perit atas kehilangan Darren susulan kecederaan dialami pada perlawanan lalu.
Tangkap layar komen dari Silva.
Tidak hanya bertepuk sebelah tangan, pemain berusia 32 tahun itu juga seakan-akan bersetuju untuk berhijrah ke Likas susulan memberi emoji jam pasir yang membawa maksud sedang menghitung hari untuk ke kelab baharu.
Emoji dari bekas pemain Nakhonsi United itu dapat dilihat ketika dia memberi komen terhadap hantaran dari laman Palatao Bola yang mengaitkannya dengan Sabah FC dan dua lagi kelab Asia Tenggara.
Silva pasti tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di Liga Malaysia susulan pengalamannya beraksi di Liga Thailand dan Liga Vietnam sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram