KEPUTUSAN undian Piala Malaysia 2023 musim ini menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air dengan setiap pasukan sudah mula mendapat senarai lawan masing-masing dalam edisi kali ini.
Dimulakan dengan pusingan 16 dalam timbal balik yang dijangka bermula pada Ogos nanti, rata-rata peminat sudah mula tampil dengan pilihan tersendiri dengan jangkaan pasukan yang mampu melayakkan diri ke peringkat seterusnya kelak.
Namun, lain pula ceritanya bagi peminat Kelantan FC yang dilihat sudah terlebih dahulu mengkibarkan bendera putih susulan keputusan undian yang dikatakan tidak menyebelahi skuad pantai timur tersebut.
Diundi bertemu pasukan Johor Darul Takzim (JDT) seawal pusingan pertama, harapan untuk melihat kelab itu melangkah jauh pada kempen kali ini kian pudar susulan pencabarnya, Harimau Selatan disifatkan sebagai tembok besar yang mustahil untuk diruntuhkan oleh anak-anak buah Frank Bernhardt tersebut.
Jadual perlawanan Piala Malaysia 2023 yang dijangka bakal bermula pada Ogos nanti. — Facebook/MFL
Ditambah pula dengan kemelut dalaman dihadapi skuad The Red Warriors (TRW) ketika ini, ia sekali gus menghancurkan hati segelintir penyokong yang menganggap perjalanan Kelantan bakal berakhir seawal pusingan pertama pada musim ini.
"Memang bungkus awal Kelantan kali ini, tak ada harapan langsung kalau bertemu JDT, silap-silap dimalukan lagi nanti," kata Mohamad Hanif.
"Kelantan dah jadi lubuk awal permainan, berapa kena bolos tak tahu nak jangka tapi yang pasti memang akan pulang awal," ujar Afiq Amri.
"Naya Kelantan, tak ada peluang langsung jumpa JDT, biar main di tempat sendiri pun tak ada gunanya kalau jumpa pasukan elit Harimau Selatan," jelas Hairy Shameer.
Kelantan yang sebelum ini terpalit dalam pelbagai isu soal gaji pemain serta masalah kebajikan tidak terjaga ketika bersama bekas pengendalinya, Choi Moon-sik masih hangat diperkatakan hingga ke hari ini dan sekali gus meninggalkan persepsi negatif menjelang pembukaan kejohanan itu nanti.
Meskipun pemiliknya, Norizam Tukiman ataupun Zamsaham ada membawa pemain baharu ke skuadnya baru-baru ini, ia masih belum mampu mengubati segala luka di hati peminat yang nyata kecewa dengan prestasi pasukan itu pada musim ini.
Dalam pada itu, segelintir peminat masih berharap agar TRW mampu diselamatkan dan dibeli oleh usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida yang dikhabarkan mahu membiaya segala kos pembaikan kelab berkenaan.
Sebelum ini, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman dikatakan berminat untuk mengambil alih Kelantan demi menyelamatkan kelab itu yang ketika ini didakwa berdepan isu kewangan.
Malah, Vida juga bercadang meletakkan anaknya, Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin atau Kacak bagi menguruskan pasukan terbabit.
"Masih sempat lagi kalau nak dapatkan bantuan Datuk Seri Vida, jual Kelantan pada dia biar dia bantu kos untuk baik pulih pasukan," kata Farid Hamidi.
"Sempat lagi Vida nak beli Kelantan tukar pemain, buat kejutan di saat akhir," ujar Kamarulzaman Ahmad.
Namun, sehingga kini masih belum ada kata putus antara kedua-dua pihak berkenaan dengan Zamsaham juga berkata, tiada sebarang kenyataan ataupun panggilan rasmi daripada usahawan tersebut setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram