Usah harapkan naturalisasi, peledak muda JDT jadi solusi ketandusan penyerang HM


  • Podium
  • Selasa, 20 Jun 2023

Skuad Harimau Malaya dijangka bakal menerima kedatangan penyerang dari pasukan JDT. — Facebook/JDT

KETANDUSAN penyerang tempatan dalam skuad Harimau Malaya kian meresahkan peminat dengan beberapa kelibat naturalisasi dilihat mula mendominasi posisi tersebut.

Tidak dinafikan bahawa khidmat pemain luar negara sentiasa ditagih dalam skuad kendalian Kim Pan-gon namun rata-rata peminat masih mengimpikan bakat tempatan sebagai penjaring utama kebangsaan.

Namun, isu tersebut dijangka bakal reda dengan kewujudan muka baharu dari kelab Harimau Selatan baru-baru ini yang dikatakan mempunyai potensi besar untuk diserap masuk sebagai tonggak utama skuad negara satu hari nanti.

Meskipun pasukan kebangsaan dibarisi ramai pemain dari Johor Darul Takzim (JDT), situasi itu dijangka bakal berterusan dengan seorang lagi pemain muda dari kelab itu mula meraih perhatian dalam kalangan penyokong.

Daryl Sham George antara individu berbakat dalam pembikinan Harimau Selatan dengan kelibatnya di skuad JDT II semakin membuahkan hasil.

sham

Daryl Sham semakin mempamerkan bisa di bahagian serangan pasukan JDT. — Facebook/JDT

Pemain berusia 20 tahun berdarah kacukan Malaysia-Filipina itu mempunyai kelebihan di bahagian serangan dengan kawalan bola yang kemas serta kelajuan diperlukan di posisi tersebut.

Beraksi sebagai penyerang, Daryl Sham juga boleh diturunkan sebagai pemain tengah yang membantu pasukannya memburu gol dan aksinya dalam perlawanan persahabatan JDT menentang Albirex Niigata tempoh hari jelas menunjukkan pemain itu sudah mula meraih kepercayaan pengendali skuad utama, Estaban Solari.

"Daryl Sham antara pelapis JDT yang berpotensi untuk diserap ke pasukan kebangsaan, boleh mula beri perhatian pada dia... jaga elok-elok sampai mantap," ujar Farid Ghazali.

"Lincah macam Mat Yat (Akhyar Rashid) juga dia ni, laju dan kawalan bola memang terbaik, cuma perlu pendedahan lebih lagi," kata Umar Jasreen.

"Seorang lagi pemain berkualiti dilahirkan pasukan JDT, jangan dilepaskan pemain macam ini, kena jaga dan selalu turunkan sampai Pan-gon nampak kelibat dia," jelas Borhanashaa47.

Belum ada sebarang kenyataan dari pengurusan kem Harimau Malaya berhubung pemain itu setakat ini, namun bakat dimiliki Daryl Sham perlu terus digilap agar mampu mendatangkan hasil buat skuad kebangsaan satu hari nanti.

Dengan sandaran diletakkan terhadap pemain muda JDT itu, diharapkan ia mampu mengurangkan tekanan serta kemelut dihadapi pasukan negara yang dikatakan semakin ketandusan penyerang tempatan kebelakangan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram