Makin mengganas, fans Terengganu mahu naturalisasi HM dirantai menjelang aksi separuh akhir Piala FA


  • Podium
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Kelibat Paulo Josue bersama Harimau Malaya semakin mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air. — FAM

TAMPIL dengan aksi memukau dalam perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon pada Rabu lalu, penyerang naturalisasi negara, Paulo Josue kian mengundang resah dalam kalangan penyokong Terengganu FC.

Bakal membuat perhitungan dengan skuad KL City FC dalam peringkat separuh akhir Piala FA pada 25 Jun nanti, persembahan cemerlang pemain berusia 34 tahun kelahiran Brazil itu pastinya menjadi penghalang terbesar bagi pertahanan skuad Penyu.

Cemerlang selaku penyerang utama dalam perlawanan tempoh hari, Paulo Josue berjaya menjaringkan satu gol pada minit ke-40 yang sekali gus membantu Malaysia menang dengan keputusan 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Tidak dinafikan, kemasukan pemain itu nyata satu perkhabaran gembira buat penyokong Harimau Malaya namun bagi saingan di Liga Malaysia (Liga M), ia dilihat sebagai satu ancaman terbesar buat pasukan lawan.

Paulo Josue antara penyerang naturalisasi meningkat naik dalam saingan Liga Malaysia. — Facebook/KLCityFC

Terengganu FC merupakan antara yang terkesan dengan peningkatan pemain itu susulan pertemuan di separuh akhir Piala FA nanti, bakal menemukan kedua-dua pasukan berkenaan di hadapan penyokong sendiri.

Memiliki tindakan penyudah yang tajam di hadapan pintu gol, larian deras pemain berketinggian 1.84 meter itu pastinya akan dirantai oleh barisan pertahanan skuad Penyu kelak bagi mengelak daripada menjadi mangsa kerakusan penyerang tersebut.

Tekanan tersebut turut dirasai dalam kalangan peminat yang menggesa agar anak-anak buah Tomislav Steinbruckner itu tampil dengan kekebalan yang mantap di barisan pertahanan.

"Dia ini boleh jaringkan gol dengan kaki kiri dan kanan dalam satu masa yang sama, silap-silap boleh lepas dua orang pemain kita dengan dia, Terengganu kena ada perancangan awal untuk separuh akhir nanti," kata Lan Taman.

"Kaki kiri kanan boleh belaka, jangan kasi sepakan percuma dekat dia," ujar Mohd Razuan.

"Jangan bagus sangat dekat Harimau Malaya, bahaya skuad Penyu nanti jumpa KL, dia sepak deras dan sepakan percuma pun boleh tahan," jelas Che Engku.

"Kita ada Sonny Norde yang boleh ambil sepakan percuma, tapi Paulo ni lagi bahaya, pertahanan kena rantai jangan kasi dekat dengan pintu gol," tambah Annuar Hamid.

Dengan kebolehan sepakan jarak jauh dimilikinya, ia nyata satu perkara yang meresahkan peminat Terengganu sekiranya pasukan lawan dihadiahkan sepakan percuma.

Enggan mengaku kalah terlebih dahulu, rata-rata peminat skuad Penyu sudah melaungkan amaran buat benteng pertahanan agar segera mempersiapkan formasi serta taktikal terbaik dalam mengekang asakan pemain tersebut.

Mempunyai kelebihan masing-masing di bahagian serangan, segalanya bakal terjawab menjelang hari perlawanan nanti yang pastinya antara pertemuan hangat dan tumpuan bagi saingan musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram