Rumours lokal dari Pantai Timur, 3 pemain sesuai sarung jersi TBG harung baki musim 2023


  • Podium
  • Khamis, 22 Jun 2023

Perak FC memerlukan nafas baharu bagi memastikan pasukan tersebut mampu terus bersaing dalam kancah liga. — Facebook/ Perak FC

PERAK FC di bawah bimbingan Yusri Che Lah ketika ini hanya mampu menduduki tangga ke-11 Liga Super dengan dua kemenangan, tiga keputusan seri dan sembilan kekalahan selepas mengharungi 14 perlawanan.

Dengan prestasi yang agak merosot itu, pastinya peminat mahu menyaksikan pasukan kesayangan mereka melakukan rombakan secara besar-besaran menjelang jendela perpindahan pada Julai nanti bagi mengembalikan prestasi pasukan ke tahap yang lebih baik.

Menjelang perpindahan kedua liga, Perak FC memerlukan nafas baharu khususnya di bahagian serangan bagi memastikan pasukan tersebut mampu terus bersaing dalam kancah liga.

Sekiranya tiada strategi baharu diatur, ia pasti akan memberikan lebih tekanan kepada para pemain dan barisan kejurulatihan dalam mengharungi baki Liga Super.

Selain berpeluang menggugurkan pemain yang kurang memberi sumbangan, mereka juga berkesempatan untuk membawa masuk wajah-wajah baharu sepanjang tempoh berkenaan.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Perak (CEO) FC, Bobie Farid Shamsudin sebelum ini mendedahkan pelbagai perancangan sudah dibuat meskipun jendela perpindahan masih belum dibuka.

Ujarnya, pihak pengurusan juga dalam usaha memastikan pemain yang bakal menyertai skuad Seladang memenuhi ciri-ciri seorang pemain Liga Super.

"Apa yang saya boleh kongsikan ialah barisan pemain untuk jendela perpindahan kedua kita sudah selesai. Tetapi, jumlah pemain yang sertai kita rahsiakan.

"Kesemua pemain sudah kita senaraikan, sudah cukup dan kita pun telah tutup buku. Jadi, kita akan lakukan pengumuman selepas bertemu PDRM FC," katanya menerusi satu temu bual di akaun YouTube TBGTV.

Jadi tidak hairan khabar angin mula bertebaran bahawa TBG akan mendapatkan khidmat daripada pemain lokal daripada Pantai Timur.

Berikut Majoriti senaraikan tiga pemain yang disebut-sebut bakal memantapkan barisan pemain Perak FC bagi mengharungi saingan baki liga dan musim akan datang dengan lebih cemerlang.

1. Muhaimin Izuddin Asri (Kelantan FC)

Muhaimin ketika beraksi menentang JDT di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu. — Facebook/ KelantanFC

Sejak tahun lalu, nama pemain sayap kiri Kelantan FC, Muhaimin Izuddin Asri dikatakan menjadi antara nama yang menjadi buruan kelab-kelab elit Liga Super yang memantau rapat bakatnya.

Pemain muda berusia 21 tahun itu juga sering dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain dalam Liga Malaysia (Liga M), termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Pemain tengah itu dirasakan sesuai berkelana ke skuad Sang Kenari untuk menimba pengalaman di bawah bimbingan Nafuzi Zain sebagai antara jurulatih terbaik dalam negara.

Namun, dengan KDA FC yang tidak memberi sebarang respons, berkemungkinan pemain tersebut tidak akan dipanggil untuk menyertai pasukan berkenaan.

Jadi, peluang tersebut sesuai untuk diambil Perak FC memandangkan jentera serangan skuad TBG masih belum berada di tahap optimum setakat 14 perlawanan Liga Super.

Melihat kepada statistik setakat ini, kelab Utara tanah air itu masih bergelut di hadapan pintu gol dengan penyokong turut berasa kecewa akan situasi berkenaan.

Tambahan pula, masalah kewangan yang dialami skuad The Red Warriors (TRW) menyaksikan ramai pemain sedang cuba untuk meninggalkan pasukan terbabit apabila berasakan kebajikan mereka tidak dijaga.

2. Engku Nur Shakir (Terengganu FC)

Engku dilihat mampu untuk menembusi skuad TBG. — Facebook/TFC

Bakat muda Terengganu FC, Engku Nur Shakir turut dilihat sebagai antara pemain yang disebut-sebut berpontesi berkelana ke Perak FC.

Setakat 14 perlawanan Liga Super Terengganu FC, pemain berkenaan sudah diturunkan sebanyak lapan kali, namun hanya beraksi dalam kesebelasan utama sebanyak dua kali.

Ini termasuk perlawanan ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) yang mana pemain berketinggian 1.75 meter itu dilihat mempamerkan aksi yang agak baik.

Walaupun kerap dikritik, Engku masih memberikan persembahan terbaik memandangkan dia jarang diturunkan beraksi sebagai kesebelasan utama.

Tetapi, sekiranya mahu menyelesaikan masalah itu, pemain berusia 25 tahun berkenaan perlu mencari angin baharu, dengan Perak FC merupakan destinasi terbaik untuk dia mendapatkan lebih banyak minit permainan di atas padang.

Apatah lagi, skuad Seladang masih tidak mempunyai barisan kesebelasan utama terbaik, jadi Engku mampu cuba untuk menembusi skuad TBG.

3. Ariff Ar-Rasyid (Kelantan United)

Ariff menyertai Kelantan United pada musim ini dengan mengumpul 644 minit permainan bersama skuad Kijang Hijau. — Instagram/Ariff

Bek Kelantan United FC, Ariff Ar-Rasyid memulakan karier bola sepak bersama UiTM FC sebelum berhijrah ke Penang FC pada musim 2022.

Pemain berusia 25 tahun itu kemudian menyertai Kelantan United pada musim ini dengan mengumpul 644 minit permainan bersama skuad Kijang Hijau tersebut.

Bekas rakan sepasukan Ahmad Khuzaimi Piee ketika bersama-sama di UiTM FC itu menunjukkan prestasi yang baik bersama Kelantan United kerana sering diturunkan dalam kesebelasan utama dengan rekod lapan kali daripada 14 perlawanan.

Bersama Perak FC, Ariff dilihat boleh bergandingan dengan bek kental TBG, Raja Imran Shah bagi memperkuatkan lagi benteng pasukan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram