Tiga pelapis pertahanan muda Selangor mampu akhiri dominasi JDT di HM


  • Podium
  • Khamis, 22 Jun 2023

Shahrul Saad antara pemain JDT yang beraksi ketika menentang Papua New Guinea. — Facebook/FAM

PASUKAN kebangsaan menunjukkan peningkatan ketara apabila menang empat perlawanan persahabatan terakhir menentang Turkmenistan, Hong Kong, Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.

Dalam empat perlawanan itu, Harimau Malaya hanya bolos sekali ketika menentang Kepulauan Solomon di awal minit permainan pada 14 Jun 2023.

Rata-rata benteng pertahanan pasukan kebangsaan dibarisi pemain-pemain Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Matthew Davies, Corbin Ong, Shahrul Saad dan Feroz Baharudin.

Shahrul Saad

Shahrul Saad.

Namun rata-rata purata umur pemain skuad kebangsaan ini berusia antara 28 hingga 32 tahun, sekali gus menimbulkan persoalan kepada orang ramai siapa pengganti mereka.

Matthew sudah berusia 28 tahun manakala Shahrul pula 29 tahun dan Corbin paling tua dengan 32 tahun.

Hanya Feroz yang dilihat masih mempunyai peluang jangka masa panjang untuk terus diserapkan dalam skuad negara dengan usianya yang masih muda iaitu 23 tahun.

Dengan faktor usia yang kian meningkat dalam kalangan tanker JDT, Selangor antara pasukan yang mempunyai tiga prospek pertahanan muda terbaik di dalam negara.

Majoriti senaraikan tiga pemain muda Selangor yang disebut-sebut bakal menjadi benteng utama Harimau Malaya di masa akan datang:

Shahrul merupakan tonggak utama skuad kebangsaan dalam mengharungi kempen Piala AFF. Facebook/Selangor FC

1. Shahrul Nazeem

Siapa sangka, prospek pertahanan muda Selangor FC yang menjadi tumpuan penyokong sejak dua musim lalu, Shahrul Nazeem turut tersenarai antara pemain B-23 termahal di Liga Super.

Disebabkan aksi konsisten sepanjang musim lalu, Shahrul atau lebih dikenali sebagai 'Afro' berjaya menarik perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan tonggak utama skuad kebangsaan dalam mengharungi kempen Piala AFF yang mana Harimau Malaya tewas di tangan Thailand di peringkat separuh akhir.

Kini, Shahrul menjadi pilihan utama Tan Cheng Hoe bergandingan dengan pemain import dari Jordan, Yazan Al-Arab untuk menjaga benteng pertahanan skuad Gergasi Merah.

Harith Haikal antara nama yang menjadi calon untuk menggantikan pemain pertahanan senior Harimau Malaya. Facebook/Selangor FC

2. Harith Haikal

Beraksi baik ketika bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam kejohanan Sukan SEA, Harith Haikal antara nama yang menjadi calon untuk menggantikan pemain pertahanan senior Harimau Malaya.

Produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ini kini mula mendapat tempat bersama Gergasi Merah apabila sering bertukar-tukar tempat bersama Shahrul Nazeem.

Ketenangan dan bacaan bola yang baik menjadi salah satu kelebihan Harith Haikal menembus ke dalam kesebelasan utama Selangor musim ini.

Faiz kini menjadi kapten Selangor FC II serta antara tonggak utama skuad kebangsaan B-23. Facebook/FAM

3. Faiz Amer

Masalah jantung yang dihadapi pemain muda negara, Faiz Amer tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak.

Pemain berusia 19 tahun itu pernah menyembunyikan masalah kesihatan yang dihadapinya untuk memastikan dia dapat mewakili skuad negara di kejohanan bawah umur seperti Sukan SEA dan Piala AFF.

Faiz sudah pulih sepenuhnya dan meningkatkan lagi semangat untuk dia mengejar impian bergelar pemain bintang.

Meskipun tidak lagi mendapat peluang bersama skuad utama, Faiz kini menjadi kapten Selangor FC II serta antara tonggak utama skuad kebangsaan B-23. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram