Bobie akui berminat dapatkan Wan Kuzain, tapi bapa mahu anak kekal di AS


  • Podium
  • Khamis, 22 Jun 2023

Pelbagai perancangan sudah dilakukan Bobie untuk separuh kedua musim Liga Super buat skuad TBG. — Facebook/Perak FC

PENJELASAN daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin mengenai jendela perpindahan kelab itu memberi sebuah petunjuk buat penyokong pasukan.

Selepas memulakan musim dengan langkah kiri, skuad The Bos Gaurus (TBG) kini berada di tangga ke-11 hasil daripada sembilan mata yang dikumpul.

Prestasi tidak memberangsangkan itu menyaksikan pihak pengurusan terpaksa menggugurkan ketua jurulatih berpengalaman, Datuk Lim Teong Kim dan digantikan dengan Yusri Che Lah.

Perubahan berkenaan pastinya memaksa rombakan secara besar-besaran memandangkan terdapat perbezaan ketara mengenai pendekatan taktikal kedua-dua pengendali.

Jadi, dengan jendela perpindahan akan dibuka dalam kira-kira dua minggu, khabar angin mula tersebar mengenai wajah baharu yang akan disambar kelab Utara tanah air berkenaan.

2010028

Perak FC masih memerlukan rombakan besar-besaran. Facebook/Perak FC

Antara yang disebut-sebut akan menyarung jersi skuad TBG ialah penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad serta bekas pemain import Kedah Darul Aman FC, Thiago Augusto.

Bagaimanapun, ura-ura berkenaan segera ditepis Bobie yang enggan menceritakan mengenai individu yang akan menyertai kelab tersebut pada masa terdekat.

Namun, selepas beberapa minggu gosip perpindahan berkaitan Perak FC lenyap dari media sosial, penyokong mula menyedari bahawa CEO Interim mereka itu mempunyai sasaran tersendiri.

Ia berikutan satu komen ditinggalkannya di Facebook kepada ejen peribadi yang juga bapa kepada pemain berusia 24 tahun, Wan Kuzain Wan Kamal.

Dalam satu hantaran daripada Wan Kamal, dia berkongsi satu klip pendek yang memaparkan anaknya itu menjaringkan gol buat kelab Amerika Syarikat, St Louis City 2 ketika bertemu Real Monarchs.

WhatsApp Image 2023-06-22 at 11.11.07

Wan Kuzain kini terus menimba pengalaman di Amerika Syarikat. Agensi

Jaringan berkenaan sememangnya tidak boleh dinafikan cukup cantik di mata penyokong bola sepak tanah air dengan Bobie juga tidak terkecuali untuk memberi kata-kata penghargaannya.

"Menakjubkan," tulisnya sebelum Wan Kamal sempat memuji bahawa skil penyudah pemain berketinggian 1.78 meter itu cukup menarik.

Namun, perbualan berkenaan tidak terhenti di situ apabila seorang penyokong, Nabeell Fahmi memberi cadangan bahawa Wan Kuzain sesuai untuk menyertai Perak FC.

"Alangkah saya berharap, tetapi saya berasakan bahawa Wan Kuzain tidak akan mahu kembali (ke Malaysia). Dia sedang beraksi dengan cukup baik di sana dalam sebuah liga yang lebih berkualiti," jawab Bobie.

Bagaimanapun, hasrat penyokong untuk melihat Wan Kuzain dalam Liga Super secara mentah-mentah ditolak apabila bapanya dengan jelas mahu pemain tengah berkenaan kekal di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, orang ramai perlu faham bahawa sukan bola sepak menitikberatkan mengenai tahap persaingan cukup penting untuk meningkatkan kebolehan seseorang.

Namun, Wan Kamal bertegas bahawa dia tidak menghalang Wan Kuzain serta adiknya, Wan Kuzri untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan sekiranya diberikan peluang. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram