Imbau 7 tahun lalu, JDT ada impian bina padang latihan di Eropah


  • Podium
  • Khamis, 22 Jun 2023

JDT merupakan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super. — Facebook/JDT

KELAB gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) bukan hanya cemerlang dalam prestasi mereka di saingan liga, malah kemajuan dari segi fasiliti turut terbukti.

Sejak mengetuai pengurusan kelab berpangkalan di Selatan tanah air pada 2012, pelbagai kejutan dan pembaharuan dilakukan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim buat pasukan kesayangannya.

Jika diimbau kembali antara kejutan terbesar yang diumumkan oleh juara bertahan Liga Super itu ialah apabila pada tujuh tahun lepas, JDT mengumumkan hasrat untuk membeli sebidang tanah sama ada di Barcelona atau Valencia.

Kenyataan yang dikeluarkan pada 21 Jun 2016 itu menyebut kemudahan berkenaan juga akan menjadi tempat penginapan pemain untuk perlawanan pramusim di negara Eropah berkenaan.

WhatsApp Image 2023-06-22 at 10.49.07

Tangkap layar kenyataan tersebut. — Agensi

“Satu delegasi telah pergi ke Sepanyol untuk melihat dan memeriksa potensi tanah untuk dibangunkan.

“Apabila tanah itu dibeli, ia akan dibangunkan menjadi kem latihan JDT dan kemudahan kediaman untuk pemain kelab apabila mereka berkunjung ke Sepanyol untuk pramusim,” petikan kenyataan tersebut.

Langkah JDT itu menyaksikan mereka menjadi kelab bola sepak Malaysia pertama yang memiliki kemudahan bola sepak di luar negara.

Sebelum pengumuman tersebut dikeluarkan, Tunku Ismail dilihat mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan dengan beberapa wakil kelab gergasi Eropah seperti Valencia, Real Madrid dan Barcelona di Sepanyol dan kelab Perancis, Paris St-Germain.

Walaupun tiada perkembangan terkini berhubung pada latihan di Sepanyol tersebut namun tidak dapat dinafikan usaha JDT dalam menambah baik fasiliti mereka dalam arena domestik.

WhatsApp Image 2023-06-22 at 10.48.54

Tunku Ismail mengambil masa selama 11 tahun untuk membina empayar Harimau Selatan. — Instagram/TMJ

Seperti Mac lalu, Harimau Selatan mengumumkan akan menaik taraf padang yang digunakan pasukan simpanannya, JDT II di Stadium Larkin kepada rumput jenis zeon zoysia dan pada Mei lalu pula TMJ menitahkan untuk menaik taraf semua padang di Johor.

Kerja-kerja menaik taraf dan kemungkinan penanaman semula rumput akan dijalankan pada penghujung musim dan akan dimulakan dengan Pusat Latihan JDT dan Stadium Sultan Ibrahim untuk persediaan menghadapi musim 2024.

Segala transformasi yang dilakukan oleh Tunku Ismail itu membuatkan pasukan berkenaan semakin disegani oleh pihak lawan dan JDT juga sewajarnya menjadi inspirasi buat kelab lain untuk memajukan skuad masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram