Selepas dikaitkan ke Sang Kenari, bintang Kelantan FC kini dalam radar TFC, JDT


  • Podium
  • Sabtu, 06 Mei 2023

Muhaimin merupakan antara pelapis muda berbakat dimiliki skuad Kelantan FC. — Facebook/ KelantanFC

BUKAN sekali dua nama Muhaimin Izuddin Asri dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain dalam Liga Malaysia (Liga M).

Sejak tahun lepas, pemain muda The Red Warriors itu menjadi buruan kelab-kelab elit Liga Super yang memantau rapat bakatnya.

Bekas pemain skuad Projek FAM-NSC itu pernah dikaitkan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), namun nampaknya bukan kelab Hijau Kuning sahaja yang menginginkan khidmat Muhaimin.

Malah Muhaimin sendiri mengakui dia pernah menerima tiga tawaran daripada kelab selain Kelantan FC pada musim lalu.

Dia bagaimanapun memilih untuk menerima lamaran TRW bagi membantu kelab berkenaan memenangi Liga Perdana.

1978981

Muhaimin ketika beraksi menentang JDT di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu. — Facebook/ KelantanFC

Menjelang perpindahan kedua musim 2023, Muhaimin kembali dalam radar beberapa kelab antaranya KDA FC, Terengganu FC dan Johor Darul Takzim (JDT).

Pemain tengah itu dirasakan sesuai berkelana ke skuad Sang Kenari untuk menimba pengalaman di bawah bimbingan Nafuzi Zain sebagai antara jurulatih terbaik dalam negara.

Di skuad Hijau Kuning, Muhaimin boleh mengambil posisi Lee Tuck atau Manuel Ott di bahagian tengah yang ketika ini dilihat masih bergelut mencari rentak terbaik.

Dalam pada itu, ada juga penyokong berasakan pemain itu wajar disunting JDT yang menawarkan fasiliti terbaik dalam negara dari aspek penjagaan nutrisi sehinggalah kejurulatihan.

Biarpun begitu, dia perlu berusaha keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan sekiranya benar-benar berhijrah ke kelab berkenaan.

343587018_771646957796012_3615041355596850406_n

Muhaimin mengakui pernah menerima tiga tawaran daripada kelab selain Kelantan FC pada musim lalu. — Facebook/ KelantanFC

Di samping itu, ada juga penyokong yang berasakan Muhaimin terus kekal di Pantai Timur dengan menyertai Terengganu FC.

Dia dikatakan amat sesuai menggantikan pemain naturalisasi JDT yang dipinjamkan ke kelab itu, Liridon Krasniqi yang dirasakan kurang menyengat di Sang Penyu.

Meskipun perpindahan Muhaimin ketika ini hanya sekadar khabar angin, namun penyokong berasakan dia perlu angkat kaki ke kelab lain demi kelangsungan kerjaya dalam bidang bola sepak.

Muhaimin dirasakan tidak boleh 'manja' untuk terus kekal bermain di negeri kelahirannya, Kelantan tatkala usianya masih muda untuk meneroka cabaran di kelab lain.

Jadi tidak mustahil dengan kelebihan yang ada di destinasi lain, Muhaimin bakal menyarung jersi kelab berbeza pada jendela kedua musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram