Thiago Augusto ke Perak? Ini pro-kontra bekas striker Sang Kenari ke Perak FC


  • Podium
  • Rabu, 21 Jun 2023

Perak FC difahamkan sedang berunding di peringkat akhir untuk melamar bekas tonggak penyerang Felda United itu. — Instagram/@thiagoaugusto90

PENYOKONG Perak FC boleh tersenyum lebar selepas Ketua Pegawai Eksekutif Perak (CEO) FC, Bobie Farid Shamsudin mendedahkan bahawa pelbagai perancangan sudah dibuat termasuklah membawa masuk pemain baharu menjelang jendela perpindahan pada Julai nanti.

Dalam satu temu bual bersama TBGTV, usahawan tersebut berkongsi kepada pengikut skuad The Bos Gaurus (TBG) bahawa pihak mereka akan mencari seorang pemain yang memiliki ciri-ciri Liga Super.

Pengumuman dari orang kuat Perak FC itu membuatkan penyokong lagi mengharapkan agar pemain yang dikhabarkan akan ke Ipoh pada Julai ini menjadi kenyataan dan antaranya ialah bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Thiago Augusto.

Sejak kebelakangan ini, bekas pemain Liga Super itu dikaitkan akan kembali ke tanah air selepas kali terakhir beraksi di kancah domestik pada 2018 iaitu ketika bersama Felda United.

Menerusi laporan Majoriti sebelum ini, skuad The Bos Gaurus (TBG) sedang berada dalam rundingan terakhir untuk mendapatkan Augusto dan ada yang menerimanya namun ada juga kurang senang dengan khabar angin tersebut.

Berikut Majoriti menyenaraikan pro-kontra yang akan berlaku dalam kem Perak FC sekiranya Augusto menyarung jersi Perak FC pada jendela perpindahan Julai nant:

Pro — Mesin pencetak gol

felda

Augusto menjaringkan 36 gol dalam 41 penampilan bersama pasukan Felda United. — Instagram/@thiagoaugusto90

Selesai pusingan pertama saingan Liga Super, skuad Seladang hanya merekodkan sembilan jaringan gol dengan menyaksikan sembilan kekalahan terpaksa diterima oleh pasukan Utara tanah air itu.

Kemasukan dua penyerang iaitu Cristian Obiozor dari Nigeria dan pemain muda, Hadi Fayyadh masih tidak memberikan impak positif dan disebabkan itu Perak FC mendapat kritikan dari segi serangan.

Jika dilihat berdasarkan rekod Liga M, Augusto sangat cemerlang dalam menghasilkan jaringan bagi setiap pasukan yang diwakilinya seperti semasa dia mewakili pasukan Felda United sehingga menjadi penjaring terbanyak buat pasukan itu.

Pemain berusia 33 tahun mempunyai rekod yang cemerlang dalam saingan Liga M musim 2017 dan 2018 yang mana dia menjaringkan 36 gol dalam 41 penampilan bersama The Fighters.

Dia yang kini berkhidmat dengan kelab Bahrain, Al-Hidd Sports and Cultural Club (SCC) sejak pertengahan musim lalu juga mencetak jumlah gol yang memberangsangkan iaitu sebanyak 11 jaringan.

Pro — Jimat kuota import asing

WhatsApp Image 2023-06-21 at 20.14.14

Augusto mula menjadi pemain kebangsaan Bahrain pada 2019. — Instagram/@thiagoaugusto90

Augusto yang kini merupakan pemain naturalisasi skuad kebangsaan Bahrain pada 2019, bekas pemain Muharraq itu layak untuk mengisi kekosongan slot pemain import dari Asia seperti yang diperuntukkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sekiranya, Augusto menjadi pemain Asia Perak FC, skuad TBG mempunyai bagi empat kuota asing yang boleh digunakan untuk membeli pemain baharu luar benua Asia.

Walaupun Augusto didaftarkan sebagai pemain Asia namun kualitinya masih seperti pemain Amerika Latin dek kerana dia masih ‘berdarah’ penyerang Brazil.

Augusto pernah mewakili pasukan Brazil bawah-20 tahun, tetapi tidak tersenarai dalam skuad akhir Kejuaraan B-20 Amerika Selatan 2009, yang mana Brazil muncul juara dan layak ke Piala Dunia B-20 FIFA 2009.

Kontra — Usia tua

WhatsApp Image 2023-06-21 at 20.14.13

Perak FC rata-ratanya terdiri daripada pemain muda. — Instagram/PerakFC

Di sebalik semua jaringan gol dan kejayaan seperti membantu Bahrain memenangi pingat emas dalam temasya Military World Games di China pada bulan Oktober 2019, Augusto sudah menghampiri penghujung kariernya.

Hal ini demikian kerana, pemain kelahiran Joinville, Santa Claria berusia 33 tahun dan hanya sesuai untuk perancangan jangka masa pendek dan bukan jangka masa panjang bersama TBG.

Jika dibandingkan dengan stamina pemain muda, Augusto dikhuatiri tidak mampu untuk bersaing dan berkemungkinan hanya merugikan kelab yang menginginkan penyerang untuk jangka masa panjang.

Kontra — Tekanan penyokong

WhatsApp Image 2023-06-21 at 20.14.14-3

Augusto masih aktif sebagai pemain profesional di Bahrain. — Instagram/@thiagoaugusto90

Penyokong skuad Seladang yang rata-ratanya kini mengharapkan agar pemain tersebut menjadi sebahagian TBG, pasti mereka akan meletakkan jangkaan tinggi terhadao Augusto.

Terutamanya dengan resume yang dibawa Augusto iaitu sarat dengan jumlah jaringan gol dan pengalaman beraksi di pelbagai kelab, pastinya penyokong menharapkan ada magis dibawa pemain kebangsaan Bahrain berkenaan.

Augusto juga pasti tidak terkecuali untuk berdepan perkara itu dengan barisan kejurulatihan pastinya meletakkan tanggungjawab besar di bahu pemain berkenaan.

Oleh itu, Augusto akan terasa bebanan daripada penyokong TBG dan perkara itu sedikit sebanyak akan memberi tekanan kepada untuk mencetak jaringan demi skuad Seladang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram