SEBUAH lori yang membawa muatan kayu balak dilaporkan terbalik dan menghempap kereta di lampu isyarat Jalan Kluang-Ayer Hitam, Johor pada petang Rabu.
Insiden itu dikatakan berlaku selepas lori berkenaan hilang kawalan ketika menuruni kawasan bukit yang sekali gus menyebabkan pelanggaran berlaku di laluan terbabit.
Punca kejadian dipercayai berlaku akibat brek lori itu yang dikatakan gagal berfungsi dengan baik.
Tiada sebarang kematian dilaporkan berlaku dengan mangsa sekeluarga sempat berlari keluar sebelum dihempap kayu balak berkenaan dengan pemandu lori itu juga dikhabarkan sudah menerima rawatan di hospital.
Salah seorang saksi kejadian, Said Mohd Nuuruddin berkongsi saat getir itu di laman Facebook apabila sempat mengelak dari kemalangan tersebut.
"Syukur Alhamdulillah sempat mengelak, dekat belakang kereta saya je ni, kalau tidak habis lunyai kereta kena hempap.
"Pemandu lori dah berdiri tekan brek tapi tak makan, dari belakang dah dengar bunyi dan muatan pun terlebih.
"Mungkin syarikat tak jaga keselamatan dan penyelenggaraan lori agaknya, isi banyak nak kaut untung lebih sebab tak mungkin pemandu sengaja nak bawa laju di selekoh dengan muatan yang macam itu," katanya.
Seorang lagi individu di tempat kejadian turut berpendapat bahawa masalah brek menjadi punca kemalangan terbabit.
"Brek tak makan bila lori itu turun bukit, pemandu ambil langkah keselamatan ikut susur jalan ke Kluang dan lalu jalan selekoh, jadi bila tak boleh brek lori hilang imbangan dan terbalik ke jalan sebelah," kata Crystal Eyes.
Namun, belum ada kenyataan penuh dari polis berhubung kemalangan berkenaan setakat ini dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram