'Bantu mereka ibarat beri IC biru', rakyat bangkang KPT bantu etnik Rohingya lanjut pengajian


  • Massa
  • Rabu, 21 Jun 2023

Etnik Rohingya di Malaysia bakal diberikan bantuan untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) difahamkan tiada halangan untuk memberikan pelarian Rohingya peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan kerana ia dikatakan tidak akan mengancam kedaulatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu terbabit tidak timbul kerana Malaysia sebagai sebuah negara bertamadun tidak boleh lari daripada sifat manusiawi dan ihsan.

Namun, perkara itu nyata mendapat tentangan daripada masyarakat Malaysia yang melihat ia sebagai salah satu langkah yang boleh memakan diri sekiranya cadangan itu diteruskan.

Malaysia yang sememangnya dipenuhi dengan lambakan pendatang asing tidak terlepas daripada kelakuan jenayah yang melibatkan golongan Rohingya dengan kebanyakannya kerap terlibat dengan sindiket peminta sedekah terutamanya di kawasan bandar.

llms

Menteri pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin berpendapat bantuan pengajian buat etnik Rohingya tidak akan mengganggu kedaulatan negara. — Bernama

Ditambah pula dengan kenyataan pihak KPT yang ingin membantu mereka melanjutkan pelajaran, situasi itu dilihat hanya akan memberikan tiket percuma buat mereka untuk menetap terus di negara ini.

Salah seorang warganet, Muhammad Danish berkongsi pendapatnya berkaitan perkara terbabit.

"Pelarian Rohingya yang hanya memegang kad UNHCR tidak boleh diberikan tempat dalam Institut Pengajian Tinggi di Malaysia.

"Bagaimana pelarian yang tidak mempunyai alamat tetap tempat tinggal boleh diterima sebagai pelajar? Apakah status mereka?" soalnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Turut melihat ia sebagai salah satu ancaman terhadap kedaulatan negara, tempoh pengajian yang mengambil masa bertahun dianggap sabagai salah satu alasan yang akan diguna pakai oleh pelarian Rohingya bagi mendapatkan status kewarganegaraan di Malaysia.

"Dalam tempoh belajar tersebut juga, mereka akan terus menetap selama empat hingga lima tahun dan alasan sedang menyambung pengajian adalah perkara yang kukuh untuk terus menetap di negara kita.

"Dan akhirnya, mereka akan terus tinggal di sini, diberikan taraf kewarganegaraan dan meninggalkan zuriat mereka dalam negara kita, bantu mereka ibarat beri IC biru.

"Adakah situasi seperti ini tidak dikira sebagai menggugat kedaulatan negara," ujarnya.

Sementara itu, beberapa pihak juga menuntut agar pihak berkuasa sentiasa memantau pekerjaan dan kelibat golongan terbabit di negara ini yang dilihat semakin mengancam keselamatan negara.

Dengan kadar jenayah yang kian meningkat kebelakangan ini, warga Rohingya antara yang semakin berani mempamerkan keganasan dan menjalankan perniagaan secara haram di Malaysia.

"Banyak kedai dan perniagaan mereka jalankan secara haram di ibu kota, tapi masih tiada tindakan diambil pihak berkuasa, lagi nak dibantu lanjutkan pelajaran," kata Amir Hassan.

"Apa lagi nak bantu, tempat tinggal sudah diberi, pekerjaan dan sekarang nak sambung belajar pula di Malaysia, sudahnya golongan bijak pandai datang dari mereka dan kita ditindas satu hari nanti, mohon kerajaan fikir panjang sebelum keluar kenyataan," jelas Abdul Johari Rashid.

Dalam perkembangan lain, peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum 2020 yang berjumlah AS$50 juta (RM231 juta).

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, selain etnik Rohingya, pihaknya turut memaklumkan kepada Qatar supaya membantu pelarian lain termasuk Palestin dan Syria. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram