KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2022 baru sahaja diumumkan beberapa minggu lalu dengan pencapaian calon pada tahun itu mencatatkan peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.74 berbanding 4.86 pada tahun sebelumnya.
Seramai 10,109 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Dalam pada itu, keputusan cemerlang tersebut turut diiringi dengan berita kurang enak apabila hampir 30,000 pelajar di dalam negara dilaporkan tidak menduduki SPM.
Dengan jumlah yang sebesar itu, ia sekali gus menunjukkan betapa golongan terbabit pastinya berhadapan dengan masalah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya ataupun mendapatkan pekerjaan pada masa akan datang.
Pelajar sekolah perlu diberikan pendedahan lebih dalam bidang pengajian kemahiran.
Di sebalik kekecewaan dialami pelajar terbabit, golongan ibu bapa merupakan antara yang terkesan dengan perkara itu apabila rata-rata menganggap masa depan anak mereka sudah tertutup.
Namun, permasalahan itu dijangka mampu diselesaikan dengan beberapa langkah perlu diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan (KPM) yang digesa untuk mengutamakan bidang kemahiran berbanding kerjaya profesional semata-mata.
Antara cadangan dan perubahan dimahukan adalah pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat awal bermula di tingkatan 1.
Secara umumnya, terdapat dua laluan untuk memasuki bidang TVET iaitu menerusi SPM atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dengan tujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang kemahiran tertentu.
"Kenal pasti punca kegagalan pelajar, nilai taraf pendidikan pelajar jangan hanya nilai markah A, bagi peluang anak-anak sambung belajar dalam bidang kemahiran bukan kerjaya profesional," kata Zulkoperasi Bakery.
"Belajar ni bukan akademik sahaja yang menjadi fokus, dah kalau akademik gagal cuba pula kemahiran tertentu atau masuk institusi kemahiran," ujar Atmi Raniya.
"Kalau belajar sekadar layak SPM kredit BM dan lulus sejarah nak jadi apa, baik dari tingkatan 1 dilatih kemahiran TVET supaya boleh ceburi bidang pekerjaan terus," jelas Matarusi Radzi.
"Bukan semua pelajar minat akademik nak ada kerjaya profesional, sesetengah daripada mereka minat kemahiran jadi KPM kena bantu beri pendedahan kepada mereka yang minat, jangan tunggu lepasan SPM baru nak dimasukkan ke TVET," jelas Hamidin Ruslan.
Dengan beberapa saranan daripada ibu bapa berhubung situasi yang melanda pelajar lepasan SPM baru-baru ini, ia diharapkan mampu membuka mata pihak berkenaan tentang masa depan generasi muda.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mencari hampir 30,000 pelajar yang tercicir peperiksaan SPM pada tahun lepas.
Menyahut seruan tersebut, Fadhlina berkata, KPM akan melaksanakan pelbagai intervensi bagi membantu golongan yang tercicir di peringkat peperiksaan SPM termasuk sistem pengesanan untuk golongan itu dalam tempoh dua tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram