KETIKA pasukan negara sedang sibuk dengan aksi persahabatan, pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) memilih untuk menggunakan peluang itu untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain.
Juara Liga Singapura 2022, Albirex Niigata menjadi pilihan pihak pengurusan untuk mengadakan aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.
Cabaran kelab itu bagaimanapun dengan mudah dipatahkan skuad Harimau Selatan yang mencatatkan kemenangan besar 5-1, sekali gus membuktikan kekuasaan mereka di rantau Asia Tenggara.
Perlawanan itu diadakan dengan sasaran kelab itu untuk memberi minit permainan kepada pemain yang tidak dipanggil untuk mewakili negara masing-masing.
Antara yang diturunkan ketua jurulatih, Esteban Solari dalam perlawanan tersebut ialah pemain berstatus naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang diletakkan dalam kesebelasan utama.
Penampilan tersebut merupakan yang pertama buatnya sejak 28 Mei lalu ketika aksi suku akhir Piala FA menentang PDRM di laman sendiri.
Sumareh gagal berikan sebarang impak sejak tiba di JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagaimanapun, kehadiran pemain sayap itu jelas memberi kesan positif apabila berjaya mencipta dua bantuan jaringan pada separuh masa pertama perlawanan.
Sumbangan tersebut membuktikan bahawa sentuhannya di atas padang masih belum luntur meskipun lebih kerap memanaskan bangku simpanan JDT sejak menyertai mereka dua tahun lalu.
Jadi, tidak hairanlah apabila timbul sedikit sebanyak khabar angin bahawa Sumareh akan dipinjamkan ke Kelantan FC untuk baki musim 2023.
Ura-ura tersebut timbul berikutan perjumpaan antara pemilik JDT dan kelab Pantai Timur itu pada April dengan kedua-dua mereka difahamkan mempunyai hubungan cukup baik.
Namun, sehingga kini, tiada kemas kini dikongsikan mana-mana pihak sehingga ada yang mengatakan kenyataan itu hanya sebagai 'penyedap' hati buat penyokong skuad The Red Warriors (TRW).
Persoalannya, dengan isu minit permainan hanya akan terus membelenggu Sumareh, adakah dia akan memilih untuk terus membiarkan karier bola sepaknya hanyut?
Oleh itu, menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super pada Julai, pemain kelahiran Gambia itu pasti akan mencari destinasi baharu untuk dipinjamkan secara sementara.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, pilihan terbaik buat pemain berkenaan ketika ini ialah Sri Pahang FC yang juga tidak henti-henti dikaitkan sebagai kelab baharu Sumareh.
Melihat kepada situasi ketika ini, terdapat tiga sebab terbaik kelab tersebut perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 28 tahun tersebut.
1. Kebolehan Fandi menghidupkan semula karier
Ketika ini, skuad Tok Gajah sedang berada di tangga keempat Liga Super yang mana merupakan kedudukan lebih baik jika mahu dibandingkan dengan musim lalu.
Bagi rata-rata pengikut setia Sri Pahang FC, perubahan situasi itu berpunca daripada kehadiran ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang menggantikan Datuk Dollah Salleh.
Selain pernah mengendalikan JDT, Fandi juga pernah menimba ilmu dalam bidang kejurulatihan bersama skuad kebangsaan Singapura serta beberapa kelab lain.
Fandi (kanan) berjaya memberikan nafas baharu buat beberapa pemain musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Tidak cukup dengan itu, salah satu sumbangan terbaik daripada pengendali tersebut musim ini adalah apabila dia berjaya menyuntik nafas baharu buat segelintir pemain senior.
Fadhli Shas dan Azrif Nasrulhaq yang dipinjamkan dari JDT merupakan antara contoh terbaik dengan Baqiuddin Shamsudin juga beberapa kali dipuji atas persembahannya setakat ini.
Kebolehan tersebut merupakan salah satu ciri-ciri yang hanya boleh ditemui dalam seorang jurulatih berkualiti dengan Fandi boleh dianggap sebagai contoh terbaik.
Jadi, sekiranya Sumareh berhasrat untuk kembalikan sentuhannya seperti mana ketika dia bersama Pahang FA sebelum ini, perpindahan ke Pantai Timur ialah pilihan terbaik.
2. Memerlukan khidmat pemain sayap
Meskipun sudah berada dalam kelompok lima pasukan teratas, tidak boleh dinafikan bahawa skuad Tok Gajah masih mempunyai sedikit kelemahan di posisi sayap.
Ketika ini, Azrif dan Baqiudin merupakan pilihan utama buat Fandi memandangkan kedua-dua mereka itu mempunyai kelebihan dari segi pertahanan.
Namun, sekiranya tidak diturunkan, khidmat Malik Mat Ariff, Azwan Aripin atau Zuhair Aizat juga didambakan berdasarkan pendekatan yang diambil.
Kesemua nama yang disebut itu boleh dikatakan mempunyai sumbangan cukup baik dari segi pertahanan memandangkan mereka hanya dibolosi sebanyak 14 kali setakat ini.
Sumareh beraksi dengan cukup baik ketika aksi persahabatan antara JDT dan Albirex Niigata. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagaimanapun, dalam aspek serangan, pemain-pemain berkenaan boleh dikatakan tumpul, termasuk ketika ditugaskan untuk melakukan hantaran berkualiti.
Oleh itu, sekiranya mereka berhasrat untuk menambah kuantiti jaringan dalam Liga Super, Sumareh dilihat sebagai salah satu inisiatif terbaik.
Walaupun kurang mendapatkan minit permainan, kebolehannya ketika aksi persahabatan Sabtu lalu membuktikan dia masih boleh beraksi sekiranya diberikan masa.
Larian deras dan hantaran lintang merupakan antara sumbangan terbaik yang boleh ditawarkan penyerang tersebut dengan ia cukup diminati Fandi dan pihak kejurulatihannya.
3. Sri Pahang ibarat 'rumah kedua' JDT
Ketika jendela perpindahan yang lalu, Sri Pahang FC melakukan satu perjudian cukup besar apabila membawa masuk empat pemain pinjaman dari JDT.
Bagaimanapun, langkah tersebut boleh dikatakan memberikan hasil yang baik, lebih-lebih lagi buat Azrif dan Fadhli yang kini boleh digelar sebagai tonggak pasukan.
Jadi, ia menunjukkan bahawa pasukan Pantai Timur itu akan memberikan penekanan buat mana-mana pemain yang menyertai mereka meskipun sudah berusia.
Perkara berkenaan juga pastinya terkesan buat Sumareh memandangkan dia yang sudah berusia semakin sukar untuk berada dalam sesebuah pasukan.
Fadhil (tengah) sudah mempunyai peranan khas bersama Sri Pahang ketika ini. — Facebook/TokGajah.com
Kehadiran keempat-empat pemain itu semestinya akan memberikan kemudahan buat pemain sayap berkenaan untuk menyesuaikan diri di dalam mahupun luar padang.
Tambahan pula, Fandi yang juga merupakan bekas pengendali JDT juga semestinya faham akan suasana dan keadaan di sebalik tabir kelab berprestij itu.
Namun, sekiranya Sumareh sudah berfikir secara masak-masak untuk berkelana ke Sri Pahang, dia terpaksa memahami bahawa penerimaan penyokong semestinya berbeza.
Dia yang memilih untuk meninggalkan kelab itu pada 2020 mencetuskan kontroversi yang amat teruk sehingga FIFA perlu mengambil tindakan.
Tetapi, dengan kehadiran beberapa wajah-wajah senior, Sumareh pastinya tidak akan berdepan cabaran besar untuk sekali lagi menempatkan dirinya dalam hati penyokong Tok Gajah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram