Tak gantung but, Safee Sali kembali bergandingan dengan rakan sepasukan


  • Podium
  • Isnin, 19 Jun 2023

Safee bersama rakan sepasukan Far East United dalam kejohanan The Scoccer Tournament. — Instagram/Safee

LEGENDA bola sepak kebangsaa, Safee Sali masih belum sepenuhnya menggantung but apabila disahkan akan berentap dalam saingan Liga Perdana FA Selangor (FAS) bersama Kelana United.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh laman Facebook rasmi pasukan tersebut pada Isnin yang mengumumkan bahawa bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu menjadi sebahagian keluarga Kelana United.

Berita tersebut mengejutkan penyokong bola sepak domestik berikutan sebelum ini mengumumkan persaraan beliau daripada bola sepak profesional pada Februari lalu.

“Mengumumkan pemain terbaru Kelana United bagi saingan Liga Perdana FAS ( FA Selangor). Beliau merupakan bekas pemain professional untuk pasukan Selangor, Kuala Lumpur, Sarawak, Pelita Jaya (Indonesia), JDT dan banyak lagi.

“Beliau juga mempunyai pengalaman di peringkat kebangsaaan. Sang legenda yang tak perlu diperkenalkan lagi, kini bersama membarisi skuad Kelana United dalam pentas Liga Sosial. Pastinya pengalaman berharga dan didikan Safee Sali pastinya ditagih pemain muda Kelana United untuk masa akan datang. Good Luck SS10,” tulis hantaran tersebut.

WhatsApp Image 2023-06-19 at 17.13.26

Aksi debut Safee bersama skuad Kelana United pada Ahad. — Instagram/Safee

Kehadiran Safee dalam Kelana United ibarat reunion semula dengan bekas rakan sepasukannya berikutan ramai pemain kebangsaan seperti Razman Roslan, Ahmad Fakri Saarani dan Syukor Adan turut menyertai pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Perdana FAS.

Kehadiran bekas penyerang Harimau Malaya itu sedikit sebanyak mengubat rindu penyokong yang merindui sentuhannya di hadapan gawang dan mencetak jaringan.

Pemain berusia 39 tahun itu sebelum ini turut membuat kejutan apabila berjaya menyumbang satu gol ketika mewakil pasukan Far East United dalam kejohanan The Scoccer Tournament.

WhatsApp Image 2023-06-19 at 17.13.26-2

Safee juga diberi kepecercayaan menjadi ketua pasukan Far East United. — Instagram/Safee

Jaringan tersebut dicetak ketika aksi Far East United menumpaksan West Ham United dengan keputusan 4-2 dan untuk rekod Safee menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang menyertai kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat itu.

Kejohanan yang disertai 32 pasukan daripada lapan kumpulan itu berlangsung pada 1 hingga 4 Jun 2023 dan bermain dengan format tujuh sebelah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram