SAINGAN Liga Super musim ini sudah pun memasuki pusingan kedua liga yang mana Johor Darul Takzim (JDT) masih lagi memperkukuhkan kedudukan sebagai status penyandang juara Liga Malaysia (Liga M).
Tidak seperti musim lalu, Gergasi Merah mula bangkit dari tidur selepas sekian lama tidak menampilkan prestasi terbaik seperti ini.
Manakala Sri Pahang FC melakukan kejutan apabila tidak tewas dalam 11 perlawanan sebelum bertemu JDT dengan keputusan 0-2 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 24 Mei 2023.
Mana-mana liga bola sepak di dalam dunia penyokong selalunya tertarik untuk melihat carta penjaring terbanyak tanpa memberikan tumpuan kepada pemain yang melakukan bantuan jaringan gol.
Tanpa pemain-pemain ini sukar untuk penjaring gol seperti Fernando Forestieri, Ayron del Valle, Willian Lira atau lain-lain untuk berada di dalam carta penjaring terbanyak Liga Super.
Majoriti senaraikan empat 'assister' tempatan terbanyak di dalam Liga Super sepanjang 14 perlawanan liga:
Arif Aiman antara pemain muda termahal Liga Malaysia. — Facebook/JDT
1. Arif Aiman Hanapi (11 assist)
Bintang muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi kini menjadi pemain muda paling mahal di Malaysia.
Nilai pasaran Arif kini telah mencecah angka sejuta menyaksikan dia berada di kedudukan kedua dalam carta pemain Malaysia paling mahal.
Jika disemak di laman sesawang Transfermarkt setakat 25 Mei 2023, nilai Arif Aiman kini mencecah 450,000 Euro iaitu bersamaan RM2.27 juta.
Konsistensi dalam setiap perlawanan yang ditampilkan pemain berusia 21 tahun ini pastinya menjadi sebab utama kenaikan nilai pasarannya.
Arif Aiman kini sedang menikmati musim indah bersama skuad JDT yang menerajui carta Liga Super 2023.
Menurut laman rasmi Facebook JDT, Arif Aiman kini sudah pun melakukan 11 assist untuk pasukan JDT sekali gus meninggalkan pemain import lain.
Faisal Halim antara tonggak utama Selangor musim ini. — Facebook/Selangor FC
2. Faisal Halim (7 assist)
Sinonim dengan nombor jersinya, Faisal Halim kini berjaya menghasilkan tujuh gol bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Faisal yang baru menyertai Selangor FC pada awal musim ini daripada Terengganu FC tidak menunggu masa untuk membawa impak positif buat pasukan Gergasi Merah.
Kesefahaman di antara Faisal dan Ayron menjadikan jentera serangan Selangor salah satu pasukan yang berbahaya dalam Liga Super.
Ia terbukti apabila Ayron sudah pun menjaringkan 13 gol manakala Faisal menyumbangkan tujuh assist buat skuad Gergasi Merah.
Nilai pasaran semasa Faisal kini hampir mencecah RM2 juta dan terdapat khabar angin beberapa pasukan luar negara berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Lee Tuck menjaringkan gol pertama bersama skuad kebangsaan untuk 2023. — Facebook/KDA FC
3. Lee Andrew Tuck (7 assist)
Mendapat kerakyatan Malaysia melalui tiket pemain naturalisasi, Lee Tuck tidak mensia-siakan peluang itu apabila sudah pun menjaringkan tiga gol buat pasukan kebangsaan dalam lapan perlawanan.
Bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Lee Tuck membalas kepercayaan Nafuzi Zain untuk menjadi arkitek tengah Sang Kenari apabila berjaya menjaringkan empat gol serta melakukan tujuh assist.
Walaupun baru menyertai skuad Hijau Kuning, Lee Tuck dilihat tidak kekok untuk beraksi bersama rakan-rakan sepasukan dengan taktikal yang dibawa oleh Nafuzi.
Musim ini Lee Tuck sudah pun merobek gawang gol pasukan Perak, Kelantan dan Sabah.
Nilai pasaran semasa Lee Tuck mencecah lebih RM885,000 yang mana sebelum ini perpindahan pemain berusia 34 tahun tersebut ke KDA FC tidak mendapat restu penyokong Sri Pahang FC.
Paulo turut menjaringkan gol debut bersama Harimau Malaya ketika menentang Kepulauan Solomon. — Facebook/KL City FC
4. Paulo Josue (5 assist)
Sama seperti Lee Tuck, pemain kelahiran Brazil ini turut tidak mensia-siakan peluang mendapat status pemain tempatan apabila menjaringkan gol debutnya ketika menentang Kepulauan Solomon pada Rabu.
Pemain berusia 34 tahun ini turut muncul antara penjaring terbanyak Kuala Lumpur City FC (KL City FC) apabila menjaringkan enam gol dalam Liga Super.
Bukan sahaja mampu menjaringkan gol, Paulo turut menjadi 'assister' buat KL City dengan lima bantuan jaringan gol.
Nilai pasaran semasa Paulo ialah lebih RM1.4 juta dan dia merupakan import yang paling lama berkhidmat bersama KL City sejak 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram