KEHADIRAN bek tengah Harimau Malaya, Junior Eldstal pada awalnya mengejutkan ramai penyokong susulan kekurangan minit permainan bersama kelab Thailand PT Prachuap.
Namun hakikatnya, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sendiri yang memilihnya selepas meminta Junior melaporkan diri lebih awal dan bukannya pada tarikh rasmi 10 Jun bagi melihat kecergasan pemain itu.
Mengulas lanjut, pemain kacukan Malaysia-Sweden itu mengakui keadaannya begitu baik untuk diturunkan pada Selasa meskipun kurang minit perlawanan kompetitif.
Bagaimanapun, sebelum ini Junior tidak beraksi ketika Malaysia menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 namun berpeluang untuk diturunkan ketika berdepan Papua New Guinea, selepas pemain pertahanan Muhamad Feroz Baharudin terpaksa disisihkan akibat kecederaan.
"Saya tak mahu cakap banyak pasal tempoh pinjaman (ke kelab Thailand PT Prachuap) dan apa yang jadi di sana, saya tahu mungkin ada peluang untuk dipanggil atau pulang ke Johor Darul Takzim (JDT) semula.
"Jadi saya perlu sentiasa jaga tahap kecergasan di luar mahupun dalam padang,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel penginapan pasukan di Kuala Terengganu, Terengganu pada Ahad.
Sebelum ini, pemain berusia 32 tahun itu yang membuat tiga penampilan bersama Prachuap sebagai pemain pinjaman dari Harimau Selatan dilaporkan menerima layanan secara tidak adil dan berdepan saat sukar di Thailand.
Junior bersama anak perempuannya. — Instagram/Junior
Dalam pada itu, Junior mempunyai pelbagai sebab untuk terus berjuang, bagi membuktikan kemampuannya di peringkat kelab mahupun bersama pasukan negara terutama menjelang Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
Selain daripada cintanya terhadap bola sepak sejak kecil, pemain Harimau Selatan itu mengakui, kelahiran puteri sulung yang berusia empat bulan membakar lagi semangatnya.
"Saya suka bola sepak, saya gembira bermain untuk negara dan kelab, saya sayangkan peminat dan semua mengenai bola sepak dan ia menjadi sebab saya menjadi pemain profesional. Ketika saya masih kecil itu yang diimpikan dan ia menjadi motivasi saya setiap hari.
"Sekarang pun saya ada anak perempuan berusia empat bulan, itu motivasi untuk saya supaya dia boleh tengok bapa dia (beraksi) di stadium (nanti),” tambahnya.
Junior antara 27 pemain yang disenaraikan Pan-gon dalam skuad Harimau Malaya, bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, masing-masing menentang Kepulauan Solomon Rabu lepas dan Papua New Guinea (Selasa ini) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.
Sebagai rekod, Junior mengumpul 16 penampilan bersama pasukan senior negara setakat ini, selepas mula mewakili Malaysia sejak 10 tahun lepas. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram