Isu pengadilan bukan perkara baru, 9 tahun lalu Bojan Hodak pernah mengamuk aksi JDT lawan ATM


  • Podium
  • Isnin, 19 Jun 2023

Hodak ketika bersama JDT pada 2014.

SUDAH pun memasuki 2023, namun isu pengadilan dalam Liga Malaysia (Liga M) masih lagi belum menemui jalan penyelesaian.

Baru 14 perlawanan sudah ada beberapa insiden kontroversi membabitkan pengadil dalam Liga M sehingga memaksa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa kemukakan cadangan menggunakan khidmat pengadil import.

Selain cadangan berkenaan, FAM terpaksa menggantung salah seorang pengadil kerana membuat keputusan tidak adil ketika perlawanan Sabah FC menentang Penang FC pada 17 Mac 2023.

Namun adakah anda tahu, sembilan tahun yang lalu Bojan Hodak pernah mengamuk tentang isu pengadilan dalam Liga M ketika membimbing pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada 2014.

Pada tarikh 19 Jun 2014, Bojan Hodak berang dengan keputusan pengadil Suhaizi Sukri selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Liga Super.

Ketika itu, pemain tengah ATM, Bruno Martelotto dan Mohd Affize Faizal menjaringkan gol pada minit ke-40 dan ke-59 untuk meraih kemenangan di Stadium Selayang, Selangor.

Manakala di kem JDT, Mohd Asraruddin Putra Omar menjaringkan gol sagu hati buat Harimau Selatan pada minit ke-84.

Kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Suhaizi melayangkan kad merah kepada Mohd Azrul Ahmad (ATM) dan kapten JDT, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak.

Pengendali daripada Croatia itu berang dengan tindakan Suhaizi namun tidak mengkritiknya secara terbuka bagi mengelak daripada dikenakan tindakan oleh FAM.

"Saya tidak akan mengulas mengenai pengadil, saya akan menyemak video perlawanan dan menghantarnya kepada FAM.

"Terus terang, saya tidak berpuas hati dengan pengadil perlawanan.

“Kami akan menghantar video itu kepada FAM tetapi saya tidak tahu bagaimana ia akan membantu kami.

"Mereka pasti lebih daripada satu kesilapan daripada pengadil semasa perlawanan. Jika saya memberitahu anda tentangnya (kesilapan), ia akan dikenakan tindakan nanti.

"Jadi saya tidak mahu menghadapi sebarang masalah,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram