SKUAD Kelantan United FC menerima khabar gembira apabila pasukan itu kini dikendalikan oleh seorang bekas jurulatih kelahiran Brazil bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.
Ailton Dos Santos Silva dibawa masuk bagi menggantikan tempat Tomas Trucha yang sebelum ini telah dilantik ke jawatan ketua jurulatih pasukan pembangunan bawah 23 tahun bagi persaingan Piala MFL.
Mempunyai rekod peribadi yang cemerlang, Ailton sebelum ini berjaya membantu kelab Chiangrai United menjuarai Liga Thailand pada 2019 selepas mencatatkan 22 kemenangan sekali gus dinobatkan pengurus terbaik pada musim itu.
Selepas itu, dia telah disenaraikan sebagai pengurus Chiangmai United pada 2021 dan Kelantan United merupakan kelab ketiganya di rantau Asia Tenggara.
Dengan pengalaman yang dimilikinya sewaktu mengemudi dua kelab tersebut, diharap dapat menaikkan semula kedudukan Sang Kijang Hijau di persada bola sepak Malaysia yang kini berada di kedudukan kedua tercorot carta Liga Super.
Ailton Dos Santos Silva sudah mula menjalani latihan bersama skuad Kelantan United di padang latihan. — Facebook/KelantanUnited
Laporan media mengatakan, tumpuan Ailton kini terarah kepada proses untuk mengembalikan semula keyakinan pemain pasukan itu sekali gus bangkit di pusingan kedua Liga Super dan keluar daripada kelompok bawahan.
Dalam perkembangan lain, pengendali itu turut memberikan bayangan bahawa beliau sudah mempunyai beberapa calon import yang bakal dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua pemain dibuka pada 5 Julai depan.
Namun, identiti pemain itu masih belum dinyatakan setakat ini dan dengan keyakinan serta pengalaman dimiliki, skuad Kelantan United diyakini mampu kembali menyinar menjelang aksi seterusnya di Liga Super nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram