MESKIPUN berjaya menewaskan skuad Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu, pasukan Harimau Malaya dikritik hebat susulan aksi longlai dipamerkan barisan pertahanan.
Terlebih dahulu dibolosi pasukan lawan seawal minit ke 11 permainan, kelalaian pemain pertahanan dan penjaga gol menjadi punca skuad negara dihukum dalam perlawanan terbabit.
Tersentak dengan jaringan itu, barisan pemain negara menggandakan usaha untuk memburu gol penyamaan pada minit ke-40 sebelum berjaya menamatkan permainan dengan keputusan 4-1.
Sehubungan itu, jurulatih Kim Pan-gon tampil mempertahankan anak-anak buahnya selepas dikritik hebat ketika menghadiri sesi sidang media selepas tamat perlawanan.
"Pemain Malaysia juga manusia. Ini terjadi kepada semua pemain termasuklah pemain berkelas dunia.
"Sekurang-kurangnya, ini menjadi pengajaran kepada para pemain bahawa dengan satu kesilapan, ia boleh menghukum pasukan," jelasnya.
Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Instagram peribadinya pada Khamis menyifatkan kenyataan Pan-gon sebagai sesuatu yang pernah didengari sebelum ini.
Ciapan TMJ di laman Instagram peribadinya berhubung kenyataan balas Kim Pan-gon di sidang media. — Instagram/TMJ
"Macam pernah dengar ayat ni," ujarnya menerusi instastory.
Melihatkan komen Pan-gon yang seolah-olah menerima segala kekurangan pemainnya, ia juga dilihat sebagai satu kenyataan yang hampir serupa pernah diucapkan olehnya satu ketika dahulu.
Untuk rekod, TMJ sebelum ini pernah menyuarakan pendapatnya bahawa pemainnya di Johor Darul Takzim (JDT) bukanlah mesin selepas rata-rata mereka tidak hadir ke sesi latihan kem negara dalam kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
"Piala AFF habis 15 Januari, bila nak dapat cuti? Satu tahun main bola dan berlatih tanpa henti, cuti hanya 6 hari dalam satu tahun? Pemain bukan mesin," katanya.
"Manusia mana kerja tanpa cuti? Apabila liga atau pertandingan kita rehat, pemain kebangsaan tiada rehat kerana mereka ada latihan pusat selama tiga minggu," ujarnya di laman sosial miliknya sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan, 12 pemain yang sebahagian besarnya pemain JDT tidak dapat bersama pasukan negara dalam kejohanan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram