SKUAD Kedah yang kini masih berpotensi untuk merebut kejuaraan Liga Super musim ini dikatakan bakal menerima kehadiran pemain anak jati menjelang pusingan kedua Liga Super nanti.
Bekas pemain tengah Sang Kenari, Halim Saari dilihat sedang menjalani latihan di padang pada petang Khamis.
Perkhabaran itu nyata satu keputusan gembira buat penyokong Kedah yang melihat ia sebagai senjata baharu dimiliki Nafuzi Zain untuk terus menerajui kelab itu pada musim ini.
Merupakan anak jati kelahiran Kulim, Kedah, pemain berketinggian 1.78 meter itu sebelum ini juga pernah mewakili pasukan Selangor FC sebelum berehat panjang akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialami pada awal musim 2021.
Halim Saari dilihat sedang menjalani latihan bersama skuad Kedah FC di padang. — Facebook/KedahFC
Namun, pemain itu kini dikhabarkan berstatus tanpa kelab selepas pasukan Gergasi Merah difahamkan sudah melepaskannya ekoran tumpuan lebih yang ingin diberikan kepada pemain lebih muda.
Justeru, kelibatnya di atas padang latihan bersama skuad Kedah dilihat sebagai satu kejutan buat penyokong Sang Kenari yang pastinya merindui aksi lincah pemain berusia 28 tahun itu.
Berdasarkan rekod peribadinya, pengalaman dimiliki pemain tersebut cukup cemerlang dan pernah membantu skuad Kedah menjulang kejuaraan Piala FA pada 2017.
Mempunyai larian pantas serta rajin membantu benteng pertahanan ketika diasak, penampilan Halim Saari bersama Kedah sentiasa dinantikan peminat yang pastinya merindui aksi pemain tersebut.
Merupakan antara tonggak utama skuad Kedah pada 2017, pengalaman serta kredibiliti dimiliki dikatakan mampu menjadi sandaran buat pasukan Kedah yang kini masih tercari-cari rentak di saingan liga.
Ditambah pula dengan kepercayaan ditaruh pada Nafuzi Zain selaku ketua jurulatih pasukan itu, kemasukan Halim Saari dijangka akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengendali tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram