Gaya permainan tonggak Selangor disebut sesuai ikut langkah Safawi, Mat Don


  • Podium
  • Rabu, 14 Jun 2023

Tonggak utama Selangor FC disebut sebagai calon sesuai untuk berhijrah ke Liga 1 Thailand. — Facebook/Selangor FC

PENGHIJRAHAN pemain tempatan ke negara lain bukan satu perkara baharu dalam kancah liga bola sepak negara dengan beberapa pemain sudah mula melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.

Liga yang lebih kompetitif, pengalaman berharga dan kelebihan fasiliti antara faktor mengapa ramai pemain tempatan digalakkan keluar menimba ilmu di liga luar negara.

Safawi Rasid dan Liridon Krasniqi merupakan antara pemain yang boleh dijadikan contoh dalam perkara ini dengan kedua-duanya mempunyai kelebihan yang diperlukan di liga luar.

Untuk rekod, Liga Thai merupakan destinasi pilihan pemain Malaysia dengan corak permainan di negara Gajah Perang itu dikatakan mampu meningkatkan lagi mutu persembahan seseorang pemain.

sfafa

Safawi Rasid ketika mewakili pasukan Ratchaburi FC di saingan liga utama Thailand. — Facebook/RatchaburiFC

Dalam pada itu, seorang lagi pemain tonggak utama Selangor dikatakan sebagai calon sesuai untuk mengikut jejak langkah pemain Johor Darul Takzim (JDT) tersebut.

Pemain pertahanan kanan Gergasi Merah, Quentin Cheng dikatakan mempunyai kelebihan ketinggian serta kelajuan yang sesuai untuk beraksi di negara seberang.

Mempunyai pengalaman meluas di peringkat antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon, pemain muda berusia 23 tahun itu diyakini mampu menyinar sekiranya berhijrah ke kelab luar negara.

Warganet turut tidak ketinggalan dalam menyuarakan sokongan terhadap penghijrahan pemain itu ke Thailand.

"Fizikal dia memang sedap, kalau digunakan dengan baik memang bagus dia main dekat Thailand, pertahanan dia mantap si Quentin ni," kata Faqih Razi.

"Sudah tiba masanya pemain kita membanjiri slot import di Liga 1 Thailand, dapat galakkan pemain lain cuba karier baharu di sana dan menaikkan taraf kualiti Liga Malaysia," ujar Thenasriq.

"Muda dan masih banyak potensi yang ada pada dia ini, sayang kalau tak diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, yang penting jangan takut untuk mencuba," jelas Faried.

Berkebolehan beraksi di dua posisi berlainan, Quentin juga boleh bermain di pertahanan tengah dengan kekebalannya di benteng pertahanan sentiasa menjadi kubu terbaik pasukan.

Tidak dinafikan, bukan semua pemain dapat mengekalkan persembahan konsisten di negara luar namun, ia satu perkara terpuji yang perlu digalakkan terutamanya bagi peringkat golongan muda seperti Quentin.

Dengan cabaran serta persaingan sihat dimiliki di liga luar, ia diyakini mampu meningkatkan lagi gaya permainan seseorang individu itu selain turut menyumbang kepada kejayaan skuad kebangsaan apabila mereka disenaraikan kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram