'Nak repair bukan kerja mudah', CEO Perak bidas ‘palatao’ bola sepak seluruh negara


  • Podium
  • Rabu, 14 Jun 2023

Bobie Farid Shamsuddin mengulas beberapa isu hangat berkaitan bola sepak negara. — Facebook/PerakFC

PRESTASI Perak FC kini semakin hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong dengan pasukan itu masih gagal menunjukkan sebarang peningkatan sejak permulaan awal musim ini.

Dengan pertukaran jurulatih Datuk Lim Teong Kim yang digantikan dengan Yusri Che Lah sebagai pengendali sementara, ia seolah-olah memberi tamparan hebat buat pasukan itu apabila perlu merombak segala taktikal serta perancangan pasukan dalam masa terdekat.

Ditambah pula dengan kecaman daripada peminat, ia sekali gus menunjukkan betapa kelab itu kini sedang dilanda krisis besar.

Mengulas berkenaan situasi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin menjelaskan beberapa isu berkaitan prestasi semasa bola sepak negara di laman Facebook.

Menurutnya, beberapa isu kini sedang melanda bola sepak tanah air dengan tumpuan peminat juga sedikit terganggu dengan perkara yang tidak sepatutnya.

tbg

Penyokong mula mempertikaikan prestasi pasukan Perak FC dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/PerakFC

"Nak 'repair' balik bukan kerja mudah, namun masa depan bola sepak Malaysia sehingga ke hari ini nampak tiada arah.

"Kuasa mata wang, standard gaji yang mengikut pasaran, jumlah pemain yang ada dan sebagainya menjadikan kualiti sukan ini berada pada taraf yang sepatutnya di tangga dunia.

"Banyak benda nak baiki dari segi infra, pendidikan, pemakanan, daya saing dan mentaliti yang merupakan intipati kejayaan kepada sukan itu sendiri," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengupas beberapa isu berkaitan pihak yang suka membuat andaian dan spekulasi dalam kancah bola sepak negara.

"Bila kita berbicara dengan lebih kompleks akan ada yang 'palatao'.

"Yang banyak bunyi tetap akan berbunyi tapi ibarat mengetuk tong kosong yang bunyinya kuat tapi isi dia barai.

"Jadi, menulis la dorang ini dengan 'palatao' punya falsafah, kadang-kadang bila kita merendah diri ini la jadinya.

"Tetapi, perbaiki itu lebih baik daripada buat keputusan yang salah," jelasnya.

Dengan kenyataan itu, jelas menunjukkan bahawa Bobie Farid sudah lali dengan situasi serta kecaman daripada penyokong yang gemar membuat tuduhan dan ulasan melampau di laman media.

Perlawanan berikutnya bakal menemukan skuad Seladang dan PDRM FC pada 23 Jun nanti dan tumpuan peminat semestinya mahu menyaksikan pasukan Perak berjaya membawa pulang tiga mata penuh di tempat sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram