Padu kemudi tengah TFC, aksi anak jati Terengganu 'control' JDT jadi nama sesuai ganti Mat Don


  • Podium
  • Selasa, 13 Jun 2023

Jentera serangan Terengganu di bawah kendalian Liridon Krasniqi dikatakan kurang menyengat dan buntu dalam merancang pergerakan pasukan.  — Facebook/TerengganuFC

AKSI kurang konsisten dipamerkan skuad Terengganu FC dalam saingan Liga Super musim ini meresahkan peminat dengan kedudukan semasa pasukan itu di tangga ke tujuh setakat ini masih belum cukup untuk melonjakkan kelab itu ke posisi tiga teratas.

Kurang menyengat di posisi serangan, kelibat jeneral tengah pinjaman Johor Darul Takzim (JDT), Liridon Krasniqi atau dikenali sebagai 'Mat Don' mula dipertikaikan peminat dengan persembahan pemain itu kian longlai dan kurang menyengat dalam merangka serangan ke arah kubu pertahanan lawan.

Kerap hilang kawalan bola, tewas dalam perebutan di udara dan kurang persefahaman dengan rakan sepasukan antara kelemahan pemain itu yang semakin hangat diperkatakan.

Meskipun Terengganu FC dibarisi ramai penyerang berpotensi untuk menjaringkan gol, lorongan serta hantaran 'killer' amat diperlukan dari posisi pemain tengah dan sayangnya ia gagal diterjemahkan melalui bekas pemain JDT itu.

Justeru, peminat mula menggesa agar Liridon Krasniqi digantikan dengan pemain yang lebih layak dan berkebolehan dalam mengemudi jentera tengah skuad Sang Penyu menjelang musim kedua liga nanti.

Pemain muda TFC, Engku Nur Shakir dilihat sebagai individu paling sesuai untuk mengambil alih tugas selaku pemain tengah utama pasukan.

Diturunkan ketika aksi menentang JDT sebelum ini, aksi pemain berusia 24 tahun itu dilihat berjaya menjadi perancang utama skuad Penyu dengan hantaran serta kawalan bola dipamerkan sentiasa membuka peluang buat rakan sepasukan menerjah ke pintu gol lawan.

nur

Engku Nur Shakir mula mencuri perhatian ramai dalam perlawanan menentang JDT pada Jumaat lalu. — Facebook/TerengganuFC

Disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika menentang JDT, pemain itu mempunyai skil dan larian deras yang kerap kali memecah benteng pertahanan lawan dan hampir menjaringkan gol menerusi rembatan deras di hadapan pintu gawang.

Dengan kelibat Nur Shakir yang dilabel antara pengemudi berpotensi untuk diketengahkan dalam perlawanan akan datang, rata-rata penyokong menggesa agar Liridon Krasniqi direhatkan daripada skuad Terengganu bagi baki saingan musim ini.

"Harap sangat kelibat Liridon dihilangkan terus daripada radar Terengganu musim ini, tak berbaloi pun turunkan dia, gol pun tak banyak dia jaringkan," kata Che Hafiz969.

"Liridon itu boleh pergi jauh main bola, jauh dari bumi terus lagi senang," ujar Emnon.

"Lebih baik gantikan dengan Engku Nur Shakir, lebih rancak gaya permainan dia dan hantaran pun lebih tepat, rajin kejar bola," jelas Naharuddin Isma.

Perlawanan berikutnya bakal menemukan skuad Penyu dan KL City FC dalam peringkat separuh akhir Piala FA yang bakal diadakan di Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 25 Jun nanti.

Ditambah pula dengan keyakinan serta tumpuan peminat yang kini tertumpu kepada Engku Nur Shakir, kelibatnya sentiasa dinantikan peminat yang sememangnya mahu pemain itu diturunkan dalam setiap perlawanan kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram