KUCHING City FC (KCFC) mengumumkan kemasukan dua import baharu selepas pasukan tersebut mengesahkan penyertaan penyerang baharu, Bruno Dybal ke skuad itu beberapa hari lalu.
Susulan prestasi kurang memberangsangkan yang dipamerkan beberapa pemain import dalam pusingan pertama Liga Super, KCFC mengesahkan bekas pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Dechi Marcel N'Guessan dan Pedro Henrique pula mengikat kontrak bersama The Cats bagi mengharungi pusingan kedua Liga Super selepas ini.
Perkara itu diumumkan menerusi laman Instagram rasmi pasukan itu pada Khamis.
Pedro Henrique merupakan penyerang Timor Leste berdarah Brazil.
Manakala Dechi Marcel sebelum ini pernah berkhidmat untuk Terengganu FC dan KDA FC masing-masing selama dua musim.
Bersama Sang Penyu, pemain kecil-kecil cili padi 1.64 meter itu juga pernah beraksi dalam 20 penampilan dengan dua gol sepanjang dua musim Liga Super 2019 dan 2021.
Namun, pemain kelahiran Ivory Coast itu dilihat lebih agresif apabila berkhidmat untuk Sang Kenari dengan 23 penampilan bukan sahaja dalam Liga Super, malah dia turut bermain dalam Piala Malaysia, Piala FA dan Piala AFC.
Dechi Marcel disahkan menyertai KCFC pada Khamis. — Instagram/Kuching City
Dalam pada itu, kemasukan Dechi dilihat sedikit sebanyak mengejutkan penyokong The Cats kerana sebelum ini timbul khabar angin mengatakan pemain berusia 31 tahun berkenaan akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas penyerang import sayap kiri Penang FC, Curt Dizon.
Laptop Cabuk menerusi laporan yang disiarkan Majoriti sebelum ini berkata, pemain awang import itu merupakan antara nama yang dicadangkan oleh ketua jurulatih KDA FC musim lalu, Aidil Sharin Sahak kepada jurulatih KCFC, Irfan Bakti Abu Salim.
“Harap-harap kemasukan pemain-pemain import ini, dengan tambahan seorang atau dua lagi pemain tempatan (dalam jendela perpindahan kedua), graf pasukan Kuching City akan naik. Seri dalam dua perlawanan terakhir adalah positif dan kami harus terus membina dari situ,” kata Irfan.
Rata-rata peminat bola sepak tempatan juga tertanya-tanya mengapa Aidil Sharin tidak menyarankan Deci untuk kembali ke bekas pasukannya sekali gus berganding bersama bekas bosnya di Terengganu, iaitu Nafuzi Zain.
Skuad The Cats kini berada di tangga ke-12 selepas 13 perlawanan Liga Super. — Facebook/Kuching City FC
Selain itu, difahamkan hubungan yang baik antara Aidil Sharin dengan Irfan Bakti mungkin menjadi faktor Dechi dibawa masuk ke dalam pasukan berkenaan.
Dia dikatakan merupakan jawapan terbaik jurulatih veteran itu di Kuching City.
Malah dengan berstatus ejen bebas, skuad The Cats tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk mendapatkan kepakarannya.
Kali terakhir Dechi bermain dalam Liga Super ialah dengan mewakili KDA FC sebelum dilepaskan kerana rombakan besar-besaran skuad Hijau Kuning musim ini.
Diharapkan dengan kemahiran yang dimilki ketiga-tiga pemain import baharu itu dapat membantu menaikkan kedudukan Kuching City ke kedudukan yang lebih baik.
Untuk rekod, skuad kendalian Irfan Bakti itu berada di tangga ke-12 dengan memungut enam mata selepas mengharungi 13 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram