Irfan Bakti: Kalau dah gila bola, sakit-sakit pun tetap mahu segera kembali ke padang


  • Podium
  • Selasa, 13 Jun 2023

Irfan Bakti (duduk, kiri) ketika menerima kunjungan wakil daripada pihak pengurusan Kuching City FC.

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

PERUMPAMAAN ‘bola sepak sudah menjadi darah daging’ harus tidak mungkin diperjelaskan dengan lebih baik daripada keadaan yang sedang dilalui oleh jurulatih veteran, Irfan Bakti Abu Salim.

Dalam keadaan masih sakit-sakit pun – patah tulang selangka selain patah empat tulang rusuk dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini – ketua jurulatih Kuching City FC (KCFC) itu mengambil penerbangan pulang ke ibu kota Sarawak itu pada pagi Selasa untuk bersama pasukannya.

Cuti sakit enam minggu yang diberi doktor di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam, Selangor turut diketepikannya kerana didorong rasa mahu segera merencanakan kebangkitan skuad The Cats itu mengharungi pusingan kedua liga.

“Alhamdulillah, semalam (Isnin), pergi jumpa doktor untuk pemeriksaan susulan. Tulang rusuk masih belum sembuh tapi dah tempah tiket penerbangan ke Kuching pada Selasa.

“Doktor beri rehat enam minggu tapi saya yang berkeras mahu segera balik ke Kuching. Pengurusan (Kuching City FC) tak bagi masuk padang, intai-intai dari luar dulu,” katanya menerusi pesanan WhatsApp.

350954489_706045681251674_2084512222093676814_n (1)

Irfan Bakti sebelum ini dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya. Facebook/Kuching City FC

Terdahulu, Majoriti memetik satu perkongsian daripada kelab itu pada 31 Mei lalu yang memaklumkan ketua jurulatih berusia 71 tahun itu terbabit dalam satu kemalangan jalan raya dan telah selamat menjalani pembedahan. Tiada maklumat lanjut diberi selepas itu.

Menurut Irfan Bakti, kemalangan itu dialaminya ketika menunggang skuter untuk ke kedai di Shah Alam apabila dia membrek di permukaan jalan yang licin selepas hujan dan terjatuh.

“Saya masih boleh bangun ketika itu, hidupkan enjin skuter dan pulang ke rumah. Rasa sakit masih boleh saya tahan.

“Pemeriksaan di sebuah pusat perubatan swasta mendapati tulang selangka saya patah di tiga tempat dan dimasukkan lapan skru.

“Tulang rusuk 3, 4, 5 dan 6 juga patah. Alhamdulillah, saya dah boleh berjalan macam biasa, cuma rasa tak selesa apabila beralih-alih ketika tidur. Tulang rusuk ni boleh baik sendiri,” ceritanya kepada Laptop Cabuk.

352089114_625334782636623_2130107378192270410_n

Tugas kejurulatihan skuad The Cats kini dipikul pembantu jurulatih, Sulaiman Hussin. Facebook/Kuching City FC

Dia turut diziarahi Pengerusi KCFC, Fazzrudin Abdul Rahman, bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KCFC, Iswandi Ali Hassan, dan pengurus pasukan, Kamaludin Akil, di kediamannya di Shah Alam minggu lalu.

Didorong oleh keputusan seri 1-1 dalam dua perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur City FC pada 24 Mei dan Negeri Sembilan FC pada 4 Jun, yang disifatkannya sebagai perkembangan positif, Irfan Bakti tidak mahu berlengah menyambung persiapan pasukan ketika liga berhenti rehat sehingga 26 Jun.

KCFC, yang kini menduduki tangga ke-12 hasil satu menang dan tiga seri, akan menyambung cabaran dengan menjadi tetamu kepada Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada tarikh berkenaan.

Seperkara lagi yang mendorong kepulangan segera Irfan Bakti ialah ketibaan tiga pemain import baru di Kuching hujung minggu lalu, dengan seorang daripada mereka difahamkan adalah bekas pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC dari Ivory Coast musim lalu, Dechi Marcel N'Guessan, 31.

mar19_1639911987

Dechi Marcel difahamkan bakal menyertai Kuching City FC. Facebook/Terengganu FC

Dua pemain lagi adalah dua penyerang kelahiran Brazil yang baru mengakhiri kontrak dalam Liga Indonesia, dengan seorang daripadanya sudah menjadi pemain naturalisasi Timor Leste untuk mengisi kuota pemain ASEAN.

“Pemain-pemain ini dicadangkan oleh Aidil Sharin Sahak (ketua jurulatih KDA FC musim lalu) yang kini bersama kelab Persikabo, Bogor.

“Saya dan beberapa pegawai sudah ke sana untuk menyaksikan sendiri pemain-pemain ini, seorang di posisi nombor 9 dan seorang lagi nombor 10, beraksi dalam Liga Indonesia,” jelasnya.

KCFC ketika ini memiliki kuota lengkap sembilan pemain import -- Julian Schwarzer (Phi), Celio Santos (Bra), Aylton Alemao (Bra), Sirojiddin Kuziev (Uzb), Abu Kamara (Lbr), Michael Ijezie (Nga), Mihailo Jovanovic (Srb), Sudi Abdallah (Bdi) dan Yuki Tanigawa (Jpn).

352285821_259828083365148_4039556301282397268_n

Skuad The Cats kini berada di tangga ke-12 selepas 13 perlawanan Liga Super. Facebook/Kuching City FC

Irfan Bakti, yang pernah menawarkan diri untuk melepaskan jawatan atas rasa bertanggungjawab terhadap enam kekalahan berturut-turut KCFC pada awal April lalu tetapi ditolak, percaya kemasukan import baru berkenaan akan berupaya membantu peningkatan The Cats dalam carta liga.

“Harap-harap kemasukan pemain-pemain import ini, dengan tambahan seorang atau dua lagi pemain tempatan (dalam jendela perpindahan kedua), graf pasukan Kuching City akan naik. Seri dalam dua perlawanan terakhir adalah positif dan kami harus terus membina dari situ,” ujarnya.

Pada masa yang sama, peminat mungkin akan terus melihat dia meneriakkan arahan dari petak teknikal di tepi padang melangkaui akhir musim ini.

Kejayaan dua jurulatih seangkatan – Roy Hodgson, 75, bersama Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Claudio Ranieri, 71, dalam Liga Itali – seakan-akan satu rangsangan buatnya untuk memikirkan semula hasrat menjadikan musim ini sebagai yang terakhir di kerusi ketua jurulatih.

skysports-football-roy-hodgson_4593221

Hodgson (kiri) dan Ranieri masih aktif dalam bidang kejurulatihan walaupun sudah berusia. Agensi

Hodgson kembali ke Crystal Palace sebagai pengurus sementara, Mac lalu, bagi menggantikan Patrick Vieira yang dipecat ketika kelab itu diancam relegasi. Mereka kesudahannya terselamat hasil peningkatan hingga ke tangga ke-11.

Lebih dramatik, Ranieri, yang sebelumnya mencipta sejarah mengemudi Leicester City ke kejuaraan EPL pada musim 2015/16, membawa Cagliari kembali ke Serie A musim depan selepas kemenangan ke atas Bari dalam perlawanan ‘playoff’ pada Ahad.

“Pengurus seperti ini dan kejayaan mereka tentunya memberikan idea mengenai masa depan saya dalam bola sepak.

“Bila bola dah jadi darah daging, memang rasanya lain. Bola di tv pun saya tak terlepas...,” kata Irfan Bakti lagi sambil membiarkan kepada peminat untuk mentafsirkan maksud daripada kata-katanya itu.

Andai Kuching City FC mencapai matlamat untuk mendaki ke kelompok pertengahan liga pada penghujung musim ini, masa depannya sebagai ketua jurulatih paling lama dalam Liga Malaysia harus tidak lagi akan menjadi persoalan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram