Buru pengganti Curt Dizon, bekas import TFC, Kedah disebut-sebut perkuatkan Penang


  • Podium
  • Isnin, 12 Jun 2023

Dechi dilihat calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan dalam skuad Penang FC bagi menajamkan barisan penyerang Harimau Kumbang itu. — mediaMBTerengganu

PASUKAN Penang FC terus mengekalkan posisi di tangga ke-10 dalam Liga Super musim ini dengan rekod kemenangan sebanyak empat perlawanan dan tiga seri.

Walaupun kecundang sebanyak tujuh perlawanan, skuad Harimau Kumbang dilihat terus mencari peluang untuk terus mendaki carta dalam kejohanan domestik itu.

Namun pasukan tersebut dikhabarkan baru sahaja melepaskan penyerang import sayap kiri mereka, Curt Dizon pada Mei lalu, menjadikan posisi tersebut kosong buat masa ini.

Untuk rekod, pemain tinggi lampai 1.8 meter itu hanya sempat bermain semusim bersama pasukan Pulau Mutiara itu dengan penampilan hanya sekali ketika pertembungan dengan Selangor FC pada Mac lalu.

Dengan perkhabaran tersebut, muncul satu lagi khabar angin yang bertiup kencang untuk mengambil seorang bintang import berstatus ejen bebas untuk mengisi kekosongan tersebut iaitu, Dechi Marcel untuk bermain dalam skuad mereka.

Pemain kelahiran Ivory Coast itu sebelum ini pernah berkhidmat untuk Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC masing-masing selama dua musim.

Bersama Sang Penyu, pemain kecil-kecil cili padi 1.64 meter ini pernah membuat 20 penampilan dengan dua gol sepanjang dua musim Liga Super 2019 dan 2021.

296349775_8066324490051877_3414013011308015294_n

Dechi mempunyai pengalaman luas semasa berkhidmat untuk KDA FC selama dua musim. — Facebook/ Kedah Darul Aman FC

Namun, Dechi dilihat lebih agresif apabila berkhidmat untuk Sang Kenari dengan 23 penampilan bukan sahaja dalam Liga Super, malah dia turut bermain dalam Piala Malaysia, Piala FA dan Piala AFC.

Ketika ini, serangan sayap skuad Harimau Kumbang dipikul beberapa pemain seperti Rahmat Makasuf, Hadin Azman dan Adib Raop yang kadang-kadang diberikan peluang oleh pengendali sementara, Manzoor Azwira Abd Wahid.

Bagaimanapun, ketumpulan di barisan tersebut cukup mengecewakan penyokong kelab Utara tanah air itu memandangkan mereka terus bergelut untuk menjaringkan gol.

Kehadiran Dechi dilihat boleh menyelesaikan perkara itu sekiranya pihak pengurusan Penang FC mampu menyuntik bajet yang mencukupi memasuki jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram