Perak, Kedah, Kelantan wajar sambar 3 'free agent' sehandal Afiq Fazail untuk baiki posisi tengah


  • Podium
  • Rabu, 10 Mei 2023

Pemain skuad Harimau Selatan, Afiq Fazail merupakan pemain tengah terbaik di Liga Malaysia musim lalu. —Facebook/JohorSouthernTigers

MENJELANG jendela perpindahan terakhir pada Jun ini, kelab-kelab bola sepak tanah air dilihat sudah mula mengorak langkah dan menyusun strategi untuk menambah baik skuad mereka dalam bersaing dalam Liga Malaysia.

Ia penting dilakukan agar kesemua kelab dapat menambah baik kedudukan serta menguatkan pasukan dalam mendapatkan kedudukan teratas carta Liga Super yang pada ketika ini yang diungguli Johor Darul Takzim (JDT).

Jika melihat kepada corak permainan yang dipamerkan oleh beberapa kelab pada musim ini, ada dalam kalangan pasukan yang masih lemah dalam bahagian tengah mereka.

Sehubungan itu, pemilihan pemain import atau tempatan yang mantap merupakan satu aspek yang perlu dititik berat oleh sebuah pasukan pada ketika ini.

Sebagai contoh pemain skuad Harimau Selatan, Afiq Fazail merupakan antara pemain tengah terbaik di Liga Malaysia musim lalu.

Pada ketika ini, kelab yang mengalami masalah di bahagian tengah boleh merisik tiga pemain berstatus ejen bebas bagi mengisi kekosongan atau menambah baik jentera tengah mereka.

Mereka ialah Dechi Marcel N'Guessan, Boris Kok dan Sanrawat Dechmitr. Ejen bebas bermaksud seseorang pemain tidak terikat tanpa sebarang kontrak dengan sebarang kelab dan mana-mana pasukan berhak untuk mengikatnya.

Untuk makluman Dechi Marcel dan Sanrawat pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman FC (KDAFC) pada satu ketika dahulu manakala Boris Kok pula pernah bersama Sarawak United FC sebelum meninggalkan pasukan tersebut kerana masalah gaji.

Majoriti senaraikan tiga kelab yang boleh mendapatkan khidmat pemain itu menjelang jendela perpindahan kedua liga:

1. Kedah Darul Aman FC (KDAFC) — Dechi Marcel N'Guessan

1690354

Dechi Marcel pernah menyumbang bakti kepada skuad Hijau Kuning sebelum ini. —Facebook/KDAFC

Berada pada tangga kelima carta Liga Super musim ini, skuad Sang Kenari sudah pastinya memerlukan pemain tengah yang lebih baik pada musim ini berbanding Lee Tuck dan Manuel Ott.

Antara pemain yang dirasakan sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut ialah Dechi Marcel.

Hal ini kerana, pemain kelahiran Ivory Coast pernah menyumbang bakti kepada skuad Hijau Kuning sebelum ini dan beraksi dengan cemerlang sekali gus membantu skuad ini dalam kempen Piala AFC bersama-sama pemain lain.

Selain itu, pemain berketinggian 164 sentimeter itu berpengalaman dalam Liga Malaysia kerana menyertai arena bola sepak tanah air dengan mewakili UiTM FC pada tahun 2017 hingga 2018.

Dia kemudian dipinang Terengganu pada tahun seterusnya sebelum menyertai Kedah ketika di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak.

2. Perak FC — Sanrawat Dechmitr

2028917

Sanrawat pada ketika ini hanya beraksi di kelab amatur Thailand dan berstatus agen bebas. — Facebook/KDAFC

Pengalaman Sanrawat sebagai pemain kebangsaan Thailand dan antara pemain senior di Bangkok United FC pasti menjadi tumpuan peminat tempatan.

Pada ketika ini, bekas pemain Hijau Kuning itu hanya beraksi di kelab amatur Thailand dan berstatus ejen bebas.

Sehubungan itu Perak FC, seharusnya tidak melepaskan peluang untuk mengambil pemain berusia 33 tahun itu.

Ini kerana, dibarisi pemain muda mungkin merupakan satu kelemahan yang perlu diperbaiki skuad The Bos Gaurus (TBG) dan disebabkan itu ramai pihak mencadangkan agar pengendali Perak, Datuk Lim Teong Kim memasukkan khidmat pemain berpengalaman.

Tambahan pula, pemain kelahiran Gajah Putih itu pernah tersenarai sebagai salah seorang pemain kesebelasan terbaik dalam saingan Piala AFF 2018.

3. Kelantan FC — Boris Kok

1711680

Boris Kok pada ketika ini dirasakan calon yang sesuai untuk menguatkan lagi jentera tengah pasukan TRW. — Facebook/KelantanFC

Kelantan FC kini menghuni tangga ke-13 dalam Liga Super selepas mengharungi 10 perlawanan dengan merekodkan lapan kekalahan, satu seri dan satu kemenangan.

Walaupun The Red Warriors (TRW) melantik bekas pengendali Harimau Muda iaitu Frank Berndhart, kelab berpangkalan di Pantai Timur itu masih gagal untuk menunjukkan aksi cemerlang apabila tewas dalam tiga perlawanan terakhir dalam Liga Super.

Sehubungan itu, harapan utama penyokong agar pihak pengurusan kelab merombak semula barisan pemainnya menjelang jendela perpindahan kedua supaya mampu bersaing dengan pasukan lain.

Boris Kok pada ketika ini dirasakan calon yang sesuai untuk menguatkan lagi jentera tengah pasukan tersebut.

Ketika bersama Sarawak United FC (SUFC), pemain kebangsaan Kemboja ini bermain dengan cemerlang dan sering kali diturunkan sebagai kesebelasan utama.

Selain itu, pemain berketinggian 174 sentimeter ini juga mempunyai kelebihan bermain dalam pelbagai posisi berbeza.

Pada masa sama, dia juga dikenali sebagai seorang yang lincah ketika berada di atas padang sekali gus mampu mengucar-ngacirkan permainan pihak lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram