Mampu selamatkan karier Tomi? 3 nama dicanang boleh bantu TFC 'round 2' Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 01 Mei 2023

Tomislav kini dalam bahaya jika prestasi TFC tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

PRESTASI pasukan Terengganu FC (TFC) boleh dikatakan tidak berada di tahap terbaik jika ingin dibezakan ketika musim lepas.

TFC yang kini dibimbing oleh Tomislav Steinbruckner dilihat masih gagal mengulangi kejayaan yang pernah dicipta bekas pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain.

Malah enam pemain import yang dibawa masuk pihak pengurusan TFC musim ini gagal memberikan sebarang impak buat skuad Penyu yang kini menghuni tangga ke-10 dalam Liga Super selepas 10 perlawanan.

Tomislav masih mendapat kepercayaan penyokong-penyokong Terengganu FC. — Facebook/TFC

Ada khabar angin menyatakan Tomislav bakal digantikan dengan dua jurulatih baharu bagi meneruskan perjuangan TFC menjelang pusingan kedua Liga Super.

Namun penyokong TFC tidak bersetuju jika Tomislav digantikan dengan Irfan Bakti atau Aidil Shahrin menjelang pusingan kedua Liga Super dan menyatakan sokongan 100 peratus terhadap pengendali kelahiran Croatia itu.

Tetapi penyokong-penyokong TFC mahukan tiga pemain menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super untuk memperkuatkan pasukan Terengganu sekali gus dapat memperbaiki prestasi pasukan.

Majoriti senaraikan tiga pemain idaman penyokong Sang Penyu untuk bermain di bawah Tomislav semasa jendela perpindahan kedua yang bakal dibuka pada Jun.

Dechi beri bayangan seakan-akan terbuka hati terhadap ajakan penyokong yang memintanya menyertai Terengganu FC. — Twitter

1. Dechi Marcel

Pemain berusia 31 tahun yang pernah disamakan dengan Kante ini pernah dicanang sebagai bakal naturalisasi Harimau Malaya.

Namun, impian penyokong untuk melihat Marcel bermain sebagai pemain kebangsaan pastinya terkubur jika dia masih tidak mempunyai pasukan pada tahun ini.

Marcel memulakan karier sebagai pemain bola sepak di Malaysia dengan menyertai UiTM FC sebelum berhijrah ke Terengganu FC (TFC) selepas dua tahun bersama pasukan universiti itu.

Kali terakhir Macel bermain dalam Liga M ialah dengan mewakili Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum dilepaskan kerana rombakan besar-besaran skuad Hijau Kuning musim ini.

Di Instagram, Dechi menggunakan akaun @dechkani10 bagai memberi bayangan seakan-akan terbuka hati terhadap ajakan penyokong yang memintanya menyertai Terengganu FC.

Pemain dari Ivory Coast memberikan emoji 'love' kepada mesej penyokong yang tidak jemu mengajaknya ke TFC.

Jika Dechi ke TFC, tentunya dia boleh mengisi kelemahan di bahagian tengah dan tengah bertahan kerana kemampuan pemain berusia 1.64 meter itu bermain di posisi berkenaan.

Shitembi muncul sebagai antara watak penting apabila dia diturunkan sebanyak 14 kali dengan 10 bantuan gol berjaya direkodkan. Facebook/TFC

2. Petrus Shitembi

Selepas berjaya melayakkan diri ke Piala AFC 2023, Terengganu FC gagal untuk mengekalkan hampir keseluruhan daripada tulang belakang pasukan termasuk pemain dan staf kejurulatihan.

TFC kehilangan tonggak pasukan termasuk beberapa import, termasuk pemain tengah kelahiran Namibia, Petrus Shitembi.

Dalam saingan Liga Super musim lalu, Shitembi muncul sebagai antara watak penting apabila dia diturunkan sebanyak 14 kali dengan 10 bantuan gol berjaya direkodkan.

Hal itu membuktikan bahawa dia mempunyai kualiti untuk menyuntik perbezaan kepada mana-mana pasukan dengan kemahiran untuk melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukan.

Safawi

Safawi (kanan) merupakan produk T-Team yang dibimbing Tomislav pada 2018.

3. Safawi Rasid

Penyokong TFC menegaskan Safawi wajib sertai skuad Penyu jika mereka mahu bersaing dengan pasukan-pasukan dalam Liga Super.

Kualiti yang dimiliki Safawi, baik dari segi hantaran mahupun gelecek pastinya merupakan satu daya tarikan dan merupakan pilihan terbaik Terengganu untuk memperbaiki serangan pasukan.

Safawi difahamkan tidak akan menghabiskan tempoh pinjamannya di kelab Thailand, Ratchaburi FC dan sudah dikaitkan dengan beberapa kelab di Malaysia yang ingin mendapatkan khidmatnya ketika jendela perpindahan kedua Liga M.

Sebelum ini, Pengendali TFC, Tomislav menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Safawi Rasid bagi membantu pasukan itu yang kini berada dalam prestasi tidak menentu.

Menurutnya, TFC akan cuba mendapatkan Safawi sekiranya JDT sedia melepaskan pemain sayap kebangsaan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram