Rakan sepasukan bantu selamatkan 'air muka' Syihan Hazmi


  • Podium
  • Rabu, 14 Jun 2023

Kesilapan Syihan menjadikannya bahan bualan hangat penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/FAM

PRESTASI konsisten skuad kebangsaan diteruskan dengan kemenangan selesa ke atas Kepulauan Solomon dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu.

Kemenangan 4-1 yang dicatatkan itu sedikit sebanyak memberi suntikan buat Harimau Malaya untuk terus mendaki carta ranking FIFA.

Namun, apa yang menjadi bahan bualan dalam pertembungan itu ialah apabila penjaga gol skuad kebangsaan, Syihan Hazmi melakukan kesilapan pada awal permainan.

Keputusannya untuk cuba membuang bola daripada kawasan berbahaya akhirnya menjadi duri dalam daging apabila dia gagal melakukan tugasan itu.

Peluang tersebut diambil pemain Kepulauan Solomon apabila pemain muda mereka, Raphael Lea'i menjaringkan gol buat pihak pelawat pada minit ke-11.

ja

Arif Aiman (kiri) merupakan antara penjaring dalam aksi menentang Kepulauan Solomon. — Facebook/FAM

Kesilapan itu menjadi topik perbualan hangat daripada penyokong bola sepak tanah air memandangkan penjaga gawang Johor Darul Takzim (JDT) berkenaan merupakan antara yang terbaik di Liga Super.

Bagaimanapun, kelekaan Syihan tidak menjadi bahan perbincangan dengan terlalu lama apabila Paulo Josue menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-40.

Tidak lama selepas itu, skuad kendalian Kim Pan-gon berada di hadapan selepas Arif Aiman Hanapi meraih jaringan pertama peribadinya bersama skuad kebangsaan menerusi sepakan penalti.

Persembahan bertenaga Harimau Malaya diteruskan dengan gol daripada seorang pemain sayap JDT, Safawi Rasid memastikan kelegaan buat pasukan negara.

Lee Tuck kemudiannya menjaringkan gol terakhir perlawanan pada masa tambahan dengan rembatan dari luar kotak, sekali gus menghadiahkan kemenangan ke-16 buat Pan-gon bersama pasukan negara.

Selepas ini, Harimau Malaya akan berdepan Papua New Guinea pada 20 Jun di venue sama sebagai persiapan menjelang aksi Piala Asia 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram