MENJELANG jendela perpindahan kedua Liga Super yang bakal dibuka pada Julai nanti, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) difahamkan antara kelab yang giat mengatur strategi bagi merombak pasukannya.
Baru-baru ini juga desas desus bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali dan Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain berbincang dan merancang kemungkinan dua atau tiga pemain baharu akan dibawa Julai ini sedang hangat diperkatakan.
Meskipun skuad utara itu kini beraksi cemerlang sehingga mampu berdiri dalam kelompok tiga teratas Liga Super, pastinya Nafuzi berhasrat membawa masuk barisan pemain baharu sama ada tempatan atau import yang memiliki kelebihan cemerlang untuk mengisi posisi yang dilihat kurang sempurna ketika ini.
Khamal Idris sebelum ini seperti dilaporkan Majoriti berkata, muka baharu KDA FC kelak terdiri daripada pemain tempatan dan import yang akan dibawa masuk untuk membantu pasukan Sang Kenari dalam pusingan kedua liga.
"Calon memang sudah ada cuma kita tidak boleh nak expose sebab benda tak confirm lagi.
"Local ada, luar negara pun ada dan jumlah yang dibawa masuk masih dalam Research dan Development (RnD)," katanya.
Daniel Amier beraksi di posisi tengah untuk skuad JDT II yang beraksi di Liga Perdana musim lalu. — Facebook
Dalam perkembangan sama, penyerang kedua Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad menjadi antara nama yang disebut-sebut akan dibawa masuk ke pasukan utara itu.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga sebelum ini pernah dipinjamkan ke KDA FC bagi membantu skuad Sang Kenari menempuh musim 2022, selain pernah menabur bakti di bumi Jelapang Padi pada musim 2015.
Sementara itu, seorang pengguna Twitter, Juan Budiman pada Selasa membuat ciapan seolah-olah memberi bayangan bahawa ada pemain Harimau Selatan yang akan berhijrah ke Kedah.
Apatah lagi, Juan bukanlah calang-calang orang kerana dia merupakan antara individu yang rapat dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pastinya, status hubungan Juan dengan pemilik JDT itu dilihat menguatkan lagi spekulasi yang sedang bertiup kencang dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Tangkap layar ciapan Juan Budiman pada Selasa.
Membalas ciapan itu, Pemerhatibolasepak turut memetik nama pemain tengah pasukan gergasi Selatan tanah air, Muhammad Daniel Amier Norhisham sebagai salah seorang pemain yang berada dalam radar pemantauan Nafuzi.
Pemain berusia 26 tahun itu mendapat jolokan pemain berkaki kaca oleh sebahagian peminat di Twitter ekoran dikatakan mudah mengalami kecederaan meskipun dia memiliki semangat dan kesungguhan tinggi dalam mempertingkatkan prestasi di padang.
Pemain tengah itu kurang mendapat tempat dalam skuad JDT dengan hanya memperoleh 106 minit permainan dengan satu gol menerusi empat penampilan sepanjang musim 2022, berdasarkan transfermarkt.com.
Sebahagian komen yang ditinggalkan peminat bola sepak tempatan terhadap prestasi kurang memberangsangkan Daniel Amier. — Twitter onefootball.my
Daniel Amier juga pernah menyarung jersi Harimau Muda ketika beraksi untuk skuad bawah 19 tahun (B-19) pada 2015 dan skuad negara bawah 23 tahun (B-23) pada 2017 hingga 2019.
Meskipun demikian, kemasukan pemain baharu dalam pasukan Hijau Kuning pastinya diharapkan dapat membantu memulihkan kariernya di bawah bimbingan Nafuzi.
Selain itu, diharapkan juga wajah baharu yang bakal mewarnai skuad Sang Kenari kelak akan membantu menyaingi kedudukan Selangor FC yang ketika ini menghuni tangga kedua carta liga selepas JDT kekal mengungguli tangga pertama Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram