Risau hanya ada seorang pro, Kepulauan Solomon ramal aksi sukar jumpa Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 13 Jun 2023

Felipe dan Joses ketika sidang media praperlawanan. — Facebook/ FAM

KETUA jurulatih, Felipe Vega Arango mahu anak buahnya membuktikan bahawa standard bola sepak di Kepulauan Solomon semakin meningkat apabila negara itu menentang Malaysia dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kuala Nerus, Terengganu pada Rabu.

Jurulatih warga Sepanyol itu berkata, pasukannya bersedia memberi tentangan sengit kepada skuad Harimau Malaya, bimbingan Kim Pan-gon, walaupun kedua-dua pasukan mempunyai perbezaan ketara dari segi bilangan pemain profesional dalam skuad itu.

"Kami akan menurunkan barisan terbaik dan memastikan pemain memanfaatkan peluang berdepan dengan pasukan profesional sepenuhnya. Kami hanya mempunyai seorang pemain profesional...saya harap kami dapat melaksanakan tugas dengan baik,” katanya pada sidang media praperlawanan di Kuala Nerus, Terengganu pada Rabu.

Katanya, beliau mengkaji dan mempunyai semua maklumat tentang Malaysia, sekali gus mengharapkan pasukannya, yang tidak biasa bermain pada waktu malam, akan menghadapi masa sukar dalam aksi berkenaan.

MAIN PIC

Barisan pemain Harimau Malaya menjalani latihan sebagai persediaan menentang Kepulauan Solomon pada Rabu. — Facebook/ FAM

Beliau berkata, kedudukan ranking dunia juga tidak memberi sebarang makna dan mengakui Malaysia berada dalam kelas berbeza selepas lebih banyak bermain menentang pasukan terbaik di zon Asia.

"Saya menonton semua perlawanan mereka (Malaysia), saya tahu ia akan menjadi permainan yang pantas...jadi saya memberitahu anak buah saya ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar,” katanya sambil menyifatkan pasukan tuan rumah memiliki kelebihan dan menjadi pasukan pilihan.

Sementara itu, pemain tengah, Joses Nawo yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia, teruja untuk beraksi dan mengakui ia bukan perlawanan yang mudah.

"Kami pernah mengadakan aksi persahabatan dengan Singapura di republik itu,” kata pemain Kelab Kossa FC, di negaranya.

Kepulauan Solomon menghuni ranking ke-134 dunia manakala Malaysia di ranking ke-138. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram