PENGUMUMAN senarai skuad Harimau Malaya pada kali ini untuk mengharungi perlawanan menjelang aksi antarabangsa menentang Kepulauan Solomon pada Rabu tidak menunggu lama untuk menjadi perbincangan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Ia selepas terdapat beberapa nama yang mengejutkan turut dipanggil pengendali pasukan kebangsaan Kim Pan-gon.
Antara yang menjadi tumpuan tentunya keputusan untuk menyenaraikan dua pemain tonggak Johor Darul Takzim (JDT), Natxo Insa serta Safawi Rasid
Ini kerana kedua-dua pemain tersebut, terutamanya Natxo sudah terlalu lama tidak dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Sebagai rekod, kali terakhir Natxo yang kini berusia 37 tahun mewakili negara adalah pada tahun 2018 sewaktu pasukan kebangsaan dikendalikan Tan Cheng Hoe.
Natxo (dua dari kiri) dan Safawi merupakan dua pemain tonggak JDT yang menyertai skuad Harimau Malaya. — Facebook/JohorSouthernTigers
Kehadiran pemain berdarah kacukan Malaysia-Sepanyol itu dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan tonggak Selangor FC, Brendan Gan yang tidak disenaraikan kali ini.
Selain itu, pemain berusia 37 tahun yang berstatus pemain warisan dibawa masuk ke skuad kebangsaan bagi membantu memperkasakan barisan tengah pasukan beraksi di peringkat tertinggi.
Pada masa sama, penyokong juga berasakan kehadiran pemain itu nanti mampu memperkuatkan pasukan memandangkan pemain tersebut mempunyai pengalaman di Liga Eropah.
Namun begitu, ketiadaan pemain berketinggian 1.77 meter itu pada sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Selasa menjadi bualan penyokong.
Kali terakhir Natxo yang kini berusia 37 tahun mewakili negara adalah pada tahun 2018 sewaktu pasukan kebangsaan dikendalikan Tan Cheng Hoe. — Facebook/FAM
Melalui gambar yang dimuat naik di halaman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa, kelibat pemain warisan itu tidak ditemui dan seakan-akan hilang dari radar.
"Dimanakah Natxo Football Association of Malaysia? tanya Mohamad Izzat Shakirin.
Seorang lagi pengguna media sosial, Mohamad Zul Zikri turut menanyakan soalan yang sama berkenaan keberadaan pemain terbabit.
"Masalahnya mana Natxo? Semalam (Isnin) pun tak nampak masa latihan," katanya.
Difahamkan, pemain berusia 36 tahun itu yang baru sahaja pulih daripada kecederaan jangka panjang melibatkan lututnya terpaksa disisihkan daripada tugasan kali ini.
Menerusi laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, ketiadaan bekas bintang Celta Vigo ini sudah tentu memberi impak kepada percaturan Malaysia.
“Dua pemain tidak menyertai sesi latihan penuh iaitu Natxo dan Shahrel Fikri sekali gus beri bayangan dua pemain ini tidak akan diturunkan berdepan Kepulauan Solomon,” jelasnya kepada Astro Arena.
Pan-gon bagaimanapun masih memiliki pemain lain seperti Syamer Kutty, Stuart Wilkin dan ramai lagi yang boleh menggalas tugas penting tersebut.
Untuk rekod, skuad negara akan menentang Kepulauan Solomon pada Rabu sebelum mengalihkan tumpuan pada aksi bertemu Papua New Guinea pada 20 Jun dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram