AKSI persahabatan antarabangsa bakal menyaksikan skuad kebangsaan melayani kunjungan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Kedua-dua perlawanan yang masing-masing bakal diadakan pada Rabu dan 20 Jun pastinya diberikan penekanan sebaik mungkin oleh pihak kejurulatihan.
Bagaimanapun, harapan pengendali skuad negara, Kim Pan-gon untuk menilai kesemua pemain yang dipanggil seperti tidak akan dapat direalisasikan.
Ini kerana terdapat laporan yang mengatakan pemain tengah senior, Natxo Insa terpaksa digugurkan akibat isu kecergasan ketika berada dalam kem latihan.
Kehadiran pemain berusia 37 tahun itu pada awalnya meningkatkan keghairahan orang ramai untuk melihat kelibatnya di atas padang berdasarkan tahun-tahun kariernya.
Natxo (kanan) difahamkan terpaksa melupakan aksi persahabatan bersama skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong bola sepak tempatan mula menunding jari ke arah pengurusan Johor Darul Takzim (JDT) yang dikatakan punca di sebalik kehilangan pemain berkenaan.
Ia berikutan beberapa pengalaman lalu yang mengatakan beberapa tonggak skuad Harimau Selatan kerap 'ketinggalan bas' setiap kali pasukan kebangsaan bakal beraksi.
Namun, api kemarahan itu sekali lagi marak apabila berita mengenai tonggak pertahanan yang juga merangkap kapten pasukan bakal terlepas perlawanan di peringkat antarabangsa.
Pemain dengan status naturalisasi bersama Indonesia, Jordi Amat difahamkan tidak akan dapat diturunkan ketika aksi persahabatan Tier 1 menentang Palestin.
Berdasarkan satu ciapan di akaun Twitter Update Score Bola, bekas pemain Swansea City FC itu dikhabarkan mengalami kecederaan.
Jordi Amat pernah menyarung jersi kebangsaan Indonesia sebanyak enam kali. — Agensi
"Masalah di kaki, Jordi Amat untuk bisa bermain pada laga vs Palestina," ciapnya pada Selasa.
Perkhabaran itu pastinya memberi tamparan hebat buat pihak kejurulatihan skuad Garuda memandangkan Jordi merupakan seorang pertahanan yang amat berpengaruh.
Pemain yang kini berusia 31 tahun itu menerima status warganegara Indonesia pada November 2022 beberapa minggu sebelum aksi Piala AFF tahun lalu.
Setakat ini, Jordi sudah mencatatkan enam penampilan bersama skuad kebangsaan Indonesia di samping sudah menjaringkan satu gol ketika aksi menentang Burundi di Stadium Patriot Candrabhaga, Jawa Barat pada Mac lalu.
Musim ini, bek kental kelahiran Sepanyol itu memainkan peranan cukup penting bersama JDT selepas tidak terlepas sebarang aksi di peringkat Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram